Sabtu, 19 Jun 2010

Pelan Kg. Baru: Penduduk masih kabur


m_02kgbaru Oleh Muda Mohd Noor


KUALA LUMPUR: Pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru di ibu negara masih kabur terhadap pelan pembangunan semula kampung itu seperti yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin baru-baru ini.

Mereka mendakwa pemilik tanah dan penduduk belum mendapat penerangan yang jelas mengenai pembangunan semula tersebut.

Seorang pemilik tanah, Rohilah Abdul Rahman memberitahu belum ada pihak yang tampil mengadakan perjumpaan dengan pemilik tanah.

"Sepatutnya MAS (Malay Agriculture Settlement) sebagai pentadbir tanah Kampung Baru mengadakan perjumpaan dan menerangkan perkara sebenar kerana isu pembangunan semula bukan perkara baru.

"Pada sekitar awal tahun 1990-an, kerajaan pusat telah mengumumkan pembangunan Kampung Baru akan dilaksanakan oleh Koperasi Kijang Emas Berhad, koperasi milik penuh Bumiputera.

Tiada hasil

"Tan Sri Isa Samad pula semasa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan juga mengumumkan perkara yang sama tetapi tidak ada hasilnya.

"Jadi adakah pembangunan semula Kampung Baru akan menjadi kenyataan?," soal beliau.

Seorang penduduk Kampung Baru, Abdul Samad Ishak pula berkata, setakat ini penduduk hanya mengetahui perkara itu melalui media dan cakap-cakap orang politik sahaja.

Menurutnya, pemilik tanah ingin tahu berapa harga tanah mereka sekaki persegi kerana sebelum ini hanya bernilai RM100 sahaja.

"Kalau RM100 murah sangat kerana ia bersebelahan dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dikatakan berharga RM1,200 sekaki persegi.

"Sebagai seorang penduduk pula, saya juga ingin tahu ke mana kami semua hendak dipindahkan selepas kampung ini diambil kerajaan.

"Ada tak pampasan yang dibayar atas kerugian kerana telah menghuni kampung ini sejak puluhan tahun lalu?," katanya.

Pemangku Timbalan Pengerusi MAS, Mashuti Mat Soom dilaporkan sebagai berkata, pihaknya tidak setuju dengan rancangan pembangunan semula Kampung Baru.

Katanya, ramai penduduk menyoal bila pula yang MAS setuju dengan cadangan pembangunan semula Kampung Baru.

Tiada ulasan: