Rabu, 23 Jun 2010

Konsensus BEBAS tolak pemansuhan UPSR, PMR

Zulaikha Zulkifli

Cadangan kerajaan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat tentangan pelbagai pihak.

Konsesus bebas Parlimen berpendapat peperiksaan awam UPSR untuk tahun enam dan PMR untuk tingkata tiga perlu dikekalkan kerana ia merupakan kayu pengukur bagi tahap pencapaian persekolahan pelajar.

"Jika peperiksaan tersebut dijadikan penilaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, ini bermakna tiada piawaian menyeluruh di peringkat kebangsaan. Keputusan peperiksaan UPSR (dengan pencapaian) 5A dari sekolah luar bandar mungkin tidak sama nilainya dengan keputusan UPSR 5A dari sekolah di bandar.

"Rasional bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mendorong kepada sistem pendidikan yang menjuruskan kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan, tetapi pemansuhan peperiksaan tersebut bukanlah penyelesaian terbaik," kata konsensus itu.

Lima anggota konsensus itu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyataan hari ini, wakil rakyat itu turut berpendapat, kaedah latihan perguruan dan silibus pembelajaran perlu dikaji semula.

"Konsensus bebas berpendapat bahawa sistem pendidikan di Malaysia seolah-olah bergantung kepada citarasa menteri. Dasar pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio menteri pelajaran," kata mereka.

Tiada ulasan: