Khamis, 24 Jun 2010

Khalid bertegas mahu bangunkan Kampung Baru

Khalid FREE MALAYSIA TODAY


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim masih tetap dalam pendiriannya mahu membantu bangunkan Kampung Baru seperti yang pernah dicadangkannya 15 tahun lalu.

Namun cadangan yang akan dikemukakannya itu diambil kira atas kapasiti individu, dan bukannya melibatkan keputusan daripada kerajaan negeri.

"Walaupun Kampung Baru bukan dibawah pentadbiran Selangor, tetapi penempatan itu mempunyai kaitan rapat dengan sejarah Selangor.

"Sebagai individu yang mempunyai nilai sentimental kerana pernah terlibat dalam salah satu cadangan untuk membangunkan kawasan itu ketika dulu, saya tidak boleh berdiam diri atau menutup mata ketika penduduk Kampung Baru memerlukan bantuan dan berada di persimpangan untuk membuat keputusan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Khalid menegaskan, satu pelan alternatif akan dikemukakan agar penduduk Kampung Baru dapat menikmati pembangunan dan pada masa yang sama kekal sebagai pemilik tanah.

"Cadangan ini pernah saya kemukakan 15 tahun lalu atas permintaan Kerajaan Pusat ketika itu semasa saya memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"Pelan cadangan itu akan dibentangkan semula pada forum dengan penduduk pada tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya.

Antara isu utama yang akan diberi tumpuan melibatkan hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah, serta membina pembangunan yang setaraf dengan kawasan yang berdekatan.

Khalid berkata tindakan beliau juga selaras dengan seruan Kerajaan Pusat sebelum ini yang mempelawa mana-mana individu untuk turut serta dalam mengemukakan pandangan bagi membangunkan kawasan Kampung Baru.

"Saya nak tunjukkan satu pelan alternatif, bukannya jawapan. Jadi mereka juga perlu dengar pandangan beberapa pihak.

"Penduduk Kampung Baru dan wakil mereka termasuklah Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) boleh memberi maklum balas dan pandangan mereka terhadap cadangan tersebut.

"Saya juga ingin menegaskan laporan yang mengatakan saya tidak akan mengambil kira pandangan MAS dalam isu pembangunan ini adalah tidak benar," katanya.

Sehubungan itu, Khalid akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Ghazali untuk menetapkan tarikh perjumpaan dengan penduduk Kampung Baru bagi perbentangan pelan cadangan.

"Prinsip pentadbiran Kerajaan Selangor yang mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban akan diterapkan dalam cadangan pembangunan itu," katanya.
Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga akan dijemput sebagai pemaju yang mewakili kerajaan negeri.

Tiada ulasan: