Jumaat, 25 Jun 2010

Kes malaria di Sabak Bernam jangkitan dari luar negara

UTUSAN ONLINE

SHAH ALAM - Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam, 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Dr. Hasan berkata, satu kematian telah dilaporkan di kawasan tersebut pada 16 Jun lalu dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.

Mereka telah sampai ke negara ini pada 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lepas.

Beliau berkata, Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar.

“Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik yang sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang, kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama,’’ katanya.

Beliau menambah, mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria.

“Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital,” katanya.

Dr. Hasan berkata, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu dan pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa menangkap ikan yang sama mendapati, mereka negatif bagi malaria.

Ujarnya, contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing yang telah diambil untuk pemeriksaan malaria disahkan negatif.

Tiada ulasan: