Sabtu, 19 Jun 2010

Kedukaan Mahathir Kedukaan Kita Jua

Oleh Mohd Sayuti Omar


KEBIMBANGAN Dr Mahathir Mohamad terhadap masa depan Melayu saya kira jujur dan bukan bermotif politik. Bekas PM itu membayangkan Melayu akan menjadi minoriti sekiranya perpecahan yang dialami kini tidak dikawal bendung.

Mahathir serius kali ini? Beliau mengulangi kebimbangan itu sekali lagi di dalam blognya selepas menyatakan demikian semasa merasmikan program Melayu Bangkit (tetapi tidak berapa bangkit) di Kuala Terengganu.

Hujah Mahathir, kedudukan (kuasa dan politk) orang Melayu terancam apabila Melayu yang kini menguasai 60 peratus penduduk negara terpaksa membahagi kepada tiga puak atau kumpulan. Puak itu ialah Umno, Pas dan PKR.

Mahathir mempertahankan hujah dan kebimbangan itu walaupun ada penganalisa mengatakan Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi. Apa yang dimaksudkan oleh penganalisa, Melayu akan terus kekal dengan angka 60 peratus dan ia tidak menjejaskan dominasi Melayu. Alasannya angka itu akan terus berganjak dengan kelahiran-kelahiran baru.

Ada peselisihan dalam memahami perkara ini. Menurut Mahathir disebabkan perpecahan itu, orang Melayu terpaksa membahagikan sokongannya kepada tiga entiti. Ini menyebabkan Melayu tidak lagi majoriti. Dalam perkiraan Mahathir setiap satu kumpulan hanya mendapat 20 peratus saja.

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir dalam hal ini. Sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, di mana kuasanya terletak kepada bilangan undi bukan jumlah penduduk, fenomena yang ada sekarang ini meyebabkan Melayu akan lemah. Cuba, kalau Melayu terpaksa membahagi kepada tiga, ini menyebabkan satu kumpulan pun tidak memperolehi majoriti.

Dari jumlah penduduk ia masih majoriti tetapi dari segi kuasa politik mengikut parti, sudah minoriti.

Cuma kalau kita ingin menyedapkan hati kita mungkin boleh berkata bahawa kaum lain juga berdepan akibat sama apabila kaum itu juga terpaksa membahagikan lebih dari satu puak. Tetapi kita kena perlu insaf bahawa sikap dan persefahaman kaum bukan Melayu dalam soal kepentingan nasib dan masa depan mereka begitu kental sekali. Mereka boleh bingkas menjadi seperti kiamban apabila biduk berlalu.

Soalnya apakah bangsa Melayu juga akan mengikut perangai kiamban?

Serentak dengan kebimbangan Mahathir itu semua orang Melayu harus bangkit. Sudah lama dianjurkan supaya Melayu mengurangkan politiking, bermahasabah serta mengendurkan sedikit nafsu amarah terlalu menggilai kepada kuasa. Orang Melayu juga kena fikir apakah dalam mereak berjuang mendapatkan kuasa itu jika ia dicapai ianya mutlak?

Bukan saja Mahathir tetapi banyak pihak juga merasai ini semua. Kewujudan berbagai NGO atau puak yang membangkitkan semangat Melayu, mengungkit sejarah keperitan Melayu adalah kerana kebimbangan yang sama. Tujuan itu semua untuk melihat Melayu bersatu.

Kepada saya semua itu tidak memberi apa-apa erti. Saya sudah tulis sebelum ini buatlah sejuta NGO pun tidak menjadi. Masyarakat negara ini masih meletakkan harapan tinggi kepada parti politik. Mereka sudah terbius dan dikukus dengan parti politik. Makanya parti politik jugalah mampu untuk menyatupadukan Melayu. Mereka tidak akan mempedulikan walaupun NGO menjerit kandatipun suaranya mencecah puncak gunung.

Bercakap soal ini di mana hendak kita mulakan? Kabur dan kosong megenangkan ini. Kita hanya mendesis dalam diri saja tetapi tidak boleh berbuat apa. Tengoklah sikap dan perangai para pemain politik mereka tidak mempedulikan langsung apakah kesan dan akibat mereka lalukan. Apa yang mereka kejar hanya bola sehingga melupai syarat-syarat yang ditentukan. Mereka hanya mahu gol dan gol.

Justeru saya merasakan walaupun kebimbangan Mahathir itu ada kebenarannya, tetapi ia hanya menjadi siulan dan nyanyian sedih beliau saja. Ia tidak akan didengari oleh sesiapa. Beliau sendiri juga silap kerana dalam masa 22 tahun jadi PM beliau tidak pernah ingat akan bahaya itu sebalik terus juga ralik atas padang politik hegomeninya. Apa yang saya istilahkan 'perang salik' antara Najib dengan Anwar bukan mudah untuk ditamatkan.

Jadi hari ini kalau Mahathir bercakap, ia tidak lebih sebagai sebuah ilusi saja. Ilusi menggambarkan hati dan perasaanya sakit. Kesakitan bekas PM itu adalah juga kesakitan kita semua.

Saya tidak mahu mengungkitkan apa yang Mahathir lakukan dalam aktviti dan agenda jahat beliau memecah Melayu dalam mengukuhkan kuasa politiknya yang kosong itu. Semua orang sudah tahu. Kepada saya dosa berlakunya perpecahan Melayu ini tergenggam ditangan Dr Mahathir.

Namun dalam hal ini kalau kita terus menyalahkan beliau, ia bukan satu perbuatan yang praktikal sebab semua manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Satu lagi, kalau Mahathir salah, maka kita amat berharap jangan Najib pun salah, Anwar pun salah, Haji Hadi dan Nik Aziz juga akan turut sama salah!

Tiada ulasan: