Jumaat, 18 Jun 2010

Imigresen pantau rekod kemasukan pelajar asing

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen akan meningkatkan pemantauan rekod-rekod kemasukan pelajar warga asing di negara ini bagi memastikan golongan itu tidak terlibat dalam sebarang kumpulan militan termasuk Jemaah Islamiah (JI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk menyenarai hitamkan mana-mana pelajar asing yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Kita akan berkerjasama dengan polis dalam melakukan pemantauan terutamanya terhadap pelajar warga asing.

"Bukan sahaja warga asing yang ingin memasuki negara ini untuk belajar tetapi pelajar asing di sini juga.

"Jika terbukti pelajar warga asing menyertai JI, mereka akan dihantar pulang dan disenarai hitamkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan dan mengusir 10 individu warga asing yang merupakan anggota JI sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, warga asing itu ditahan kerana dipercayai masih meneruskan perjuangan mereka untuk mendapat sokongan daripada rakyat tempatan di sini.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya menyedari terdapat sebilangan pelajar warga asing menyalah gunakan pas pelajar mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti jenayah.

"Walaupun sukar untuk mengesan tujuan mereka memasuki Malaysia, tetapi kita akan sentiasa melakukan siasatan dan pemantauan yang lebih ketat bersama pihak polis," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta pihak institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa membendung kegiatan berkenaan.

Tiada ulasan: