Sabtu, 19 Jun 2010

Dr M: ‘Jumlah orang Melayu tak penting tapi kuasa’

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPURn — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaannya bahawa orang Melayu berisiko menjadi minoriti buat kali ketiga minggu ini dengan menegaskan, “bukan jumlah yang besar yang penting, tetapi keupayaan pasukan.”

Dr Mahathir mengulangi bahawa secara efektif tidak ada lagi kuasa 60 peratus pada Melayu kerana permusuhan sesama mereka menjadikan mereka lemah.

“Kuasa mereka tidak lebih daripada jumlah mereka dalam parti-parti campuran yang mereka sertai iaitu hanya satu pertiga daripada 60 peratus iaitu hanya 20 peratus,” kata beliau dalam blognya di bawah tajuk “Ke Mana Melayu 2”.

Dr Mahathir menambah ia akan menjadikan mereka, dalam konteks kuasa mengundi demokratik sebagai puak minoriti, walaupun daripada jumlah bilangan mereka sebagai warganegara berjumlah 60 peratus.

“Kita mudah lupa. Bala tentera Sultan Melaka jauh lebih besar daripada pasukan Portugis yang menyerang Melaka. Tetapi bala tentera Melaka kalah.

“Bukan jumlah yang besar yang penting. Yang penting ialah keupayaan pasukan,” kata bekas presiden Umno ini.

Beliau menambah, tidak kurang pentingnya kepada hasil pertempuran antara Melaka dan Portugis ialah peranan Kitol dan Raja Mendeliar.

“Di kalangan orang Melayu yang sudah terbahagi tiga terdapat ramai Kitol dan Raja Mendaliar.

“Jumlah semua 60 peratus. Tetapi kuasa bukan 60 peratus. Kuasa Melayu hanya kuasa minoriti. Aspek yang inilah yang dimaksudkan oleh saya yang kurang matang fikiran,” katanya.

Dr Mahathir memberikan pandangan terbaru ini sebagai mengulas kenyataan Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang Universiti Malaya bahawa “sebenarnya tidak ada apa-apa, itu hanya untuk menakutkan orang Melayu sahaja kerana tidak mungkin kaum terbesar di negara ini boleh menjadi minoriti di negara sendiri.”

“Kalau kita lihat secara realistiknya, orang Melayu masih lagi menjadi majoriti dalam semua aspek jadi mustahil untuk menjadi minoriti,” kata Azmi.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai terdesak dan tidak bertamadun.

“Hanya orang yang terdesak sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan begitu dan ini menunjukkan beliau (Mahathir) masih belum matang dalam berfikir.

“Selain itu, ini hanya permainan politik yang dimainkan beliau untuk menakutkan orang Melayu dengan harapan mereka akan kembali kepada pembela negara iaitu Umno,” katanya.

Pada hari pandangan itu dikeluarkan, Dr Mahathir mengulangi risiko orang Melayu akan jadi minoriti di negara ini menerusi tulisan blognya bertajuk “Ke Mana Melayu”.

Beliau melahirkan pandangan itu ketika berucap pada majlis anjuran Gertak di Kuala Terengganu Isnin lalu.

Dengan kenyataan dalam nada menyindir, Dr Mahathir berkata beliau akui yang pemikirannya “belum matang seperti yang didakwa oleh Dr Azmi.”

“Saya lupa bahawa 60 peratus daripada 100 peratus adalah majoriti. Dan, jumlah orang Melayu di Malaysia menjadikan mereka 60 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia. Mereka bukan minoriti,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, orang Melayu sekarang berpecah tiga menyebabkan setiap puak atau parti hanya mempunyai sokongan 20 peratus.

“Walaupun mungkin ada parti yang mendapat lebih ramai penyertaan, jumlah peratusan mereka tak mungkin 50 peratus atau lebih,” katanya.

“Angka-angka sokongan kepada PAS sahaja dalam pilihan raya menunjukkan lebih 50 peratus daripada pengundi Melayu menyokongnya. Lima puluh peratus daripada 60 peratus (jumlah peratusan Melayu dalam negara) ialah 30 peratus.

“Yang baki 30 peratus terbahagi antara Umno dan PKR dengan Umno mungkin mendapat bahagian yang terbesar,” kata beliau.

Beliau mengulangi bahawa dilihat dari segi keseluruhan penduduk negara, Melayu yang 60 peratus sudah terbahagi kepada tiga puak yang masing-masing mendapat peratusan kurang daripada 50 peratus penduduk iaitu kurang daripada majoriti.

“Puak-puak ini pula bermusuh sesama mereka sehingga ketiga-tiga menjadi lemah,” katanya.

Tiada ulasan: