Selasa, 22 Jun 2010

'Dalam atau luar Umno, Dr Asri tak terjejas'

Jimadie Shah Othman

Kedudukan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tetap akan kekal seperti biasa walaupun beliau mungkin memilih menyertai parti politik dalam masa terdekat, kata ahli majis tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Pada saya, tidak kira sama ada beliau menyertai parti politik ataupun tidak, tidak ada masalah apa," kata Shahidan yang juga bekas menteri besar negeri itu.

"Tetapi bagi ulama lain, eloklah sertai Umno atas dasar untuk mengukuh, memperkuat dan memperkasakan agama (dalam parti itu)."

Shahidan - anak murid dan ahli politik yang dilihat paling dekat dengan Dr Mohd Asri - diminta mengulas ura-ura penyertaan 'gurunya' itu dalam Umno Jumaat ini.

Sabtu lalu, akhbar web Umno Online melaporkan Dr Mohd Asri bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk pemegang gelaran doktor falsafah (PhD) akan mengganggotai Umno.

Memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof, Dr Mohd Asri dilaporkan akan menyertai parti Melayu itu menerusi cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang antaranya supaya parti itu "dibajai dengan ilmu-ilmu Islam."

Setakat ini Dr Mohd Asri i bagaimanapun belum membuat apa-apa keputusan berhubung penyertaannya dalam politik.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shahidan memberitahu, beliau menjangkakan Dr Mohd Asri akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam tempoh "sehari dua lagi".

Sementara itu, ditanya tentang ulama lain yang dijadual menyertai parti Melayu itu, Shahidan berkata, ia terdiri daripada "ulama tulen" yang sebelum ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

"Mereka bukan ulama yang berceramah untuk cari makan atau menggunakan politik untuk kepentingan peribadi," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penyertaan itu atas alasan ia bukan program yang dianjurkannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini difahamkan usaha Umno bagi melamar Dr Mohd Asri menyertai parti itu telah bermula dan beberapa siri pertemuan akan diadakan lagi dalam tempoh terdekat.

Tiada ulasan: