Rabu, 2 Jun 2010

Bankrap: Negara maju 2020 angan-angan Mat Jenin

Hashim Abdullah


TEMERLOH: Kenyataan kerajaan bahawa negara akan bankrap pada tahun 2019 jika terus memberikan subsidi membuktikan wujudnya kegagalan perancangan dan pengurusan ekonomi yang sekali gus membuktikan hasrat melihat negara ini maju pada 2020 tajaan pemimpin Umno BN umpama angan-angan Mat Jenin.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, isyarat kegagalan wawasan 2020 datang daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang menyatakan negara akan bankrap pada 2019 jika terus memberi subsidi sedangkan kerajaan meletakkan negara maju pada 2020.

“Bagaimana kita boleh maju sedangkan kita berada dalam situasi muflis 2019. Ini adalah kegagalan kerajaan, kegagalan Umno BN merencana dan mengurus ekonomi,” katanya.

Tambahnya, tindakan meletakkan bebanan kewangan negara kepada pemberian subsidi adalah tidak adil sedangkan banyak faktor yang boleh menyebabkan bankrap terutama berlakunya ketirisan dan kelemahan perancangan kerajaan.

“Bayangkan berapa banyak wang yang lesap akibat daripada penyelewengan dalam syarikat kerajaan dan ketirisan dalam pengurusan ekonomi. Faktor ini tidak diambil kira dan disenyapkan faktanya.

“Akhir-akhir ini kita didedahkan terlalu banyak isu termasuk kerugian besar Sime Darby. Malangnya apabila berhadapan krisis ekonomi kerajaan meletakkan bebanannya kepada rakyat, ini tidak adil,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mendesak kerajaan mengkaji balik bentuk pengurusan negara yang membabitkan banyak agensi yang bertindih fungsinya sehingga boleh membebankan kewangan negara.

“Banyak saya lihat pertindihan tugas atau fungsi di jabatan kerajaan, sebagai contoh penguatkuasaan di jalan raya, di sektor pertanian dan sebagainya. Keadaan itu mungkin boleh dikaji balik dan boleh menjimatkan wang negara,” katanya.

Tiada ulasan: