Sabtu, 19 Jun 2010

Adakah kerajaan ikhlas sokong banteras merokok

CAP


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (MoH) menerima moto Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) “Lindungi Wanita Daripada Asap dan Pemasaran Tembakau” untuk Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2010 sebagai dorongan untuk memberikan tumpuan kepada wanita yang menjadi sasaran utama bagi pemasaran industri tembakau di Malaysia.

Dalam laporan media baru-baru ini, Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Profesor Roslina Manap menyatakan bahawa lebih ramai wanita di seluruh dunia menjadi perokok memandangkan syarikat tembakau terus mensasarkan mereka melalui iklan dan di Malaysia, adalah dianggarkan 50% daripada perokok adalah lelaki manakala perokok wanita pula kira-kira 20% daripada lebih satu billion penduduk dunia yang merokok.

Jelas sekali industri tembakau di sini juga telah berjaya dalam mensasarkan wanita generasi muda. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, peratus remaja perempuan yang merokok, lebih tinggi daripada remaja lelaki, amat membimbangkan, terutama sekali apabila terdapat remaja perempuan yang mula merokok sebelum mencapai usia 10 tahun.

Beliau berkata Kajian Mortaliti dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan Kedua (NHMS11) yang dijalankan pada 2003 mendapati 28.8 peratus remaja perempuan merokok, lebih dua kali ganda daripada angka bagi remaja lelaki yang merupakan 14.1 peratus.

“Trend ini amat membimbangkan memandangkan ia jelas menunjukkan terdapat peningkatan yang serius dalam bilangan perokok wanita yang memulakannya pada usia yang masih muda,” tambah beliau.

Dengan wanita muda, industri ini dengan mudah serta mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang. Dengan wabak penggunaan tembakau dalam kalangan lelaki secara perlahan semakin merosot di beberapa buah negara, penggunaannya dalam kalangan wanita di beberapa negara semakin meningkat.

Daripada lebih lima juta orang yang mati setiap tahun daripada penggunaan tembakau adalah dianggarkan 1.5 juta daripadanya merupakan wanita. Melainkan tindakan segera diambil oleh kerajaan seluruh dunia, tembakau yang digunakan boleh membunuh lebih daripada lapan juta orang menjelang 2030, 2.5 juta daripadanya adalah wanita. Adalah dianggarkan tiga suku daripada kematian wanita ini akan berlaku terutamanya di negara berpendapatan rendah dan pertengahan seperti Malaysia yang kurang mampu untuk menyerap kerugian itu. Setiap kematian pramatang ini boleh dielakkan.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 memberikan fokus kepada bahaya pemasaran tembakau dan merokok kepada wanita. Wanita, dan lelaki mestilah dilindungi daripada pemasaran industri tembakau dan merokok sepertimana yang dicatatkan dalam mukadimah Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) PBB yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

Berkuatkuasa sejak 2005, perjanjian antarabangsa ini menyedari “peningkatan dalam merokok dan pengambilan tembakau dalam bentuk lain oleh wanita dan remaja perempuan di seluruh dunia” dan mengenal pasti dengan jelas “keperluan strategi kawalan tembakau khusus untuk gender”.

Malangnya, kurang daripada 9% daripada penduduk dunia yang diliputi oleh pengharaman iklan komprehensif. Hanya 5.4% diliputi oleh undang-undang bebas merokok kebangsaan komprehensif. Malaysia merupakan salah sebuah negara di mana undang-undang seperti itu digubal dan dikuatkuasakan dengan lemah sekali. Malah undang-undang penting berhubung kawalan tembakau juga tertakluk kepada sikap berdolak-dalik kerajaan dalam membuat keputusan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada tahun lalu tiada lagi halangan dalam pengharaman kotak rokok 14 batang dan pada 1 Jun 2010 selepas lima tahun kelewatan kotak rokok 14 batang akan dihapuskan. Pada lewat Mei tahun ini, kerajaan dengan tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan pengharaman kotak rokok 14 batang kepada 1 Januari tahun depan. Kerajaan telah melanggar peraturannya sendiri.

Kami melihat tiada alasan untuk mengubah perkara ini melainkan terdapat kemungkinan lobi oleh beberapa syarikat tembakau yang memberikan kesan terhadap kemampuan kerajaan nenepati janjinya.

Hanya baru-baru ini selepas bantahan daripada orang ramai dan pertubuhan awam terhadap kegagalan kerajaan, pengharaman itu akhirnya dikenakan selepas sekali lagi berubah haluan oleh kerajaan pada 1 Jun.

Amat sedih sekali, perkara ini hanya berlaku selepas syarikat tembakau mengancam untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap MoH terhadap kemungkinan kerugian yang dialami oleh mereka daripada menghentikan pengeluaran kotak bersaiz sederhana hasil daripada penangguhan dasar secara tiba-tiba.

Kementerian Kesihatan ketika menguatkuasakan pengharaman itu juga berkata kajian ke atas penjualan rokok haram juga akan dijalankan oleh pihak kementerian. Masalah rokok haram yang boleh diperolehi dengan murah dan meluas tanpa amaran grafik atau paras nikotin dan tar dijual secara terbuka dengan harga serendah RM1.80 sekotak pernah didedahkan oleh CAP pada tahun lalu.

Adalah menjadi pengetahuan umum rokok murah ini terus dijual secara terbuka kepada remaja perempuan. Kami tidak faham kenapa perlunya sebarang kajian apabila hanya kurangnya kemahuan politik untuk menguatkuasakan dengan berkesan undang-undang terhadap penyeludupan dan penjualan rokok ini.

Keadaan yang menyedihkan ini hanya menunjukkan bahawa dalam kes kesilapan kotak rokok 14 batang, kerajaan hanya berminat untuk menjaga kepentingannya sahaja, dalam keadaan ini industri tembakau tidak ikhlas dalam usaha menghapuskan kegiatan merokok dan melindungi kesihatan seluruh rakyat Malaysia, memandangkan ia merupakan tugas utama kepada rakyat melalui Kementerian Kesihatan.

Dengan sikap tidak tetap kerajaan dalam menjalankan pelaksanaan dasar, kami mempersoalkan keikhlasan dan keseriusan kerajaan dalam mematuhi FCTC dan menyedari “peningkatan dalam merokok dan pengambilan tembakau dalam bentuk lain oleh wanita dan remaja di seluruh dunia” dan mengenal pasti dengan jelas “keperluan strategi kawalan tembakau khusus untuk gender” di Malaysia. Adakah kerajaan benar-benar ikhlas dalam aspirasi untuk menghentikan peningkatan bilangan perokok remaja perempuan dengan banyak cara untuk diperolehi atau ia sekali lagi tunduk kepada tekanan oleh pihak industri?

Dengan kedatangan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) pada tahun ini, Malaysia terpaksa mengurangkan duti import tembakau. Penanaman tembakau dijangka merosot dan kerajaan dalam beberapa tahun yang lalu telah mengadakan beberapa program untuk menghentikan petani daripada penanaman tembakau dan bertukar kepada tanaman komersial sebagai alternatif.

Apakah jalan lain yang akan diambil oleh pihak industri tembakau tempatan? Adakah mereka sekali lagi mengugut kerajaan supaya menentang dasar pertaniannya sendiri dengan mengarahkan semula petani kita daripada tembakau atau lebih buruk lagi, adakah kerajaan mengalah kepada taktik ugutan oleh industri tembakau?

Kami menggesa kerajaan Malaysia yang menandatangani FCTC pada 2003 dan bersetuju untuk mematuhinya dan meratifikasikannya pada 2005, untuk mematuhi semangat perjanjian yang menegaskan hak bagi semua orang terhadap standard kesihatan yang tinggi mengatasi segalanya. Sebagai salah satu negara yang menerima Konvensyen itu dan menjaga kesihatan rakyat, kerajaan mestilah membuktikan kepada rakyat kejujurannya dan memberikan jaminan yang sebenar dalam menjamin pengubalan dasar dan perundangan yang teguh dan tegas, pelaksanaan dan penguatkuasaan yang selaras dengan Konvensyen secara keseluruhan dan tanpa kekaburan.

S. M. Mohamed Idris,

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tiada ulasan: