Rabu, 23 Jun 2010

6 gerabak muatan gula tergelincir dekat Kluang

BERNAMA



Enam gerabak kargo bersama muatan gula tergelincir di KM653.5-KM654.5 antara Paloh ke Chamek, dekat Kluang, awal pagi ini.

Pemangku Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fazil Ismail, berkata ketika kejadian jam 2.43 pagi itu, kereta api 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Prai, Pulau Pinang, ke Singapura.

"Akibat daripada kegelinciran itu, lapan perkhidmatan tren KTM Intercity mengalami gangguan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan terbabit adalah:

* Ekspres Sinaran Pagi (Kuala Lumpur-Singapura) - tren ditamatkan di Stesen Segamat dan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Kluang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren ke Singapura.

* Ekspres Rakyat (Singapura-Butterworth) - tren ditamatkan di Stesen Kluang dan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Segamat sebelum meneruskan perjalanan ke Butterworth menggunakan tren.

* Ekspres Timuran (Tumpat-Johor Baharu) - tren ditamatkan di Stesen Segamat dan penumpang dipindahkan ke Stesen Johor Baharu menggunakan bas.

* Ekspres Senandung Malam (Kuala Lumpur-Singapura) - tren ditamatkan di Labis dan penumpang dipindahkan menggunakan bas ke Stesen Kluang sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura menggunakan tren.

* Ekspres Rakyat - tren dari Kuala Lumpur ke Singapura dibatalkan. Walau bagaimanapun, tren dari Butterworth ke Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa.

* Ekspres Lambaian Timur (Tumpat-Singapura) - tren ditamatkan di Stesen Gemas.

* Ekspres Lambaian Timur (Singapura-Tumpat) - Tren bermula dari Gemas ke Tumpat.

* Ekspres Sinaran Petang (Singapura-Kuala Lumpur) - perkhidmatan dibatalkan.

Mohd Fazil berkata, kerja-kerja membaik pulih landasan dijangka siap pada lewat malam ini.

"Bagi perkhidmatan yang dibatalkan atau mengalami kelewatan lebih dari dua jam, pengguna boleh mendapatkan semula tambang penuh perjalanan atau menukar tarikh perjalanan di mana-mana kaunter KTM Intercity," katanya.

KTMB, katanya, memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 1-300-88-5862 untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan: