Selasa, 5 Januari 2010

Boikot peniaga naikkan harga

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Orang ramai digesa memboikot mana-mana peniaga yang menaikkan harga makanan atau minuman ekoran peningkatan harga gula, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, orang ramai mesti menggunakan kuasa mereka untuk menentukan harga barangan dengan memulaukan kedai atau restoran yang menaikkan harga sesuka hati.

"Masih banyak lagi restoran yang tidak menaikkan harga. Jadi, gunakan kuasa pembeli untuk memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah.

"Orang ramai juga boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 bagi melaporkan kenaikan harga barang, gula yang dijual melebihi RM1.65 atau jika tiada bekalan gula," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengaktifkan semula pasukan bertindak (task force) bagi memantau kenaikan harga makanan dan juga aktiviti menyorok bekalan gula.

Pihak KPDNKK juga, katanya, akan mengadakan mesyuarat bersama persatuan dan industri berkaitan gula minggu ini bagi membincangkan harga barang makanan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, harga makanan dan minuman tidak sepatutnya dinaikkan seiring dengan peningkatan harga gula sebanyak 20 sen di pasaran tempatan.

Najib menegaskan, keputusan menaikkan harga gula diambil oleh kerajaan demi menjaga kesihatan rakyat berikutan jumlah kes diabetes di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Jika harga gula dikekalkan pada RM1.45 sekilogram, kerajaan dijangka menanggung subsidi sebanyak RM1.26 bilion pada 2010 berbanding RM720 juta, tahun lalu.

Walaupun dengan kenaikan 20 sen, kerajaan masih terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1.02 bilion untuk komoditi tersebut tahun ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia semalam turut menunjukkan terdapat aktiviti pembelian panik dan kemungkinan juga menyorok gula oleh sesetengah peniaga yang ingin mengaut keuntungan mudah.

Ismail Sabri memaklumkan, pihaknya mendapati bekalan menyusut apabila pembeli mula membeli gula dengan banyak pada malam 31 Disember, selepas kenaikan harga diumumkan.

"Cuti umum dan cuti hujung minggu yang jatuh pada 1, 2 dan 3 Januari menyebabkan bekalan belum sempat ditambah.

"Pasukan bertindak KPDNKK juga akan menyiasat jika terdapat aktiviti peniaga yang menyorok bekalan. Jika ada, lesen mereka yang terlibat akan dibatalkan," tegasnya.

Jelas beliau, tindakan membatal lesen tanpa peluang rayuan akan diambil terhadap mereka yang tamak, seperti mana dialami oleh tujuh peniaga pada bulan Ramadan lalu.

Tiada ulasan: