Isnin, 4 Januari 2010

Dapatkan kembali enjin jet F-5E - Peguam Negara

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kerajaan berusaha untuk mendapatkan kembali dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang dengan lokasi terakhir ia dikesan adalah di Uruguay.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), TUDM dan Jabatan Peguam Negara akan menggunakan kesemua sumber bagi menjalankan siasatan sehingga enjin itu dijumpai semula.

''Kita sekarang mendapatkan kerjasama prosedur perundangan dengan beberapa negara untuk mendapatkan kembali dua enjin pesawat tersebut.

''Apa yang penting ialah untuk mendapatkan semula kedua-dua enjin tersebut secepat mungkin, ini kita tidak ada kompromi'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dan Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Noryah Md. Anvar.

Pada Jun dan November 2007, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara I, Sungai Besi manakala enjin kedua sebaik sahaja meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara.

Ia dipercayai dijual sebagai komponen alat ganti kepada sindiket antarabangsa di luar negara.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin bernilai RM100 juta itu hanya disedari setahun kemudian sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 4 Ogos 2008.

Abdul Gani berkata, setakat ini polis telah melengkapkan siasatan kes kehilangan dua enjin pesawat tersebut.

Jelasnya, sebarang keputusan mengenai kes itu termasuk mendakwa pihak terbabit ke mahkamah akan diumumkan dalam masa terdekat.

''Saya berpuas hati hasil siasatan mendapati bahawa tiada pegawai tinggi tentera terlibat sebaliknya ia hanya membabitkan kakitangan peringkat bawahan," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Gani tidak mendedahkan jumlah individu yang terlibat sebaliknya menyatakan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung adalah 'banyak'.

''Kita kena periksa bagaimana mereka dapat melepasi kastam, ini bukan kerja mudah," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pada 31 Oktober 2007, kontena yang mengandungi enjin pesawat tersebut dibawa ke Gudang Material Udara I, Sungai Besi.

Menurutnya, pada 30 Disember 2007 dan 1 Januari 2008, kedua-dua enjin itu kemudian dibawa ke sebuah premis di USJ, Subang Jaya.

Jelas beliau, pada 4 Mei 2008, enjin tersebut yang diletakkan dalam kontena khas dibawa keluar dengan sebuah kapal dan dikesan berlepas ke Argentina.

''Dari situ ia dipindahkan ke dalam kapal lain ke Uruguay.

''Pihak tentera hanya menyedari insiden itu pada 22 Mei 2008 dan selepas prosedur siasatan dilakukan, pada 4 Ogos laporan polis dibuat di Brickfield," katanya.

Jelasnya, kerajaan bersikap telus mengenai isu kehilangan enjin pesawat berkenaan dan tidak akan menyembunyikan sesuatu.

Abdul Gani enggan mendedahkan bagaimana enjin pesawat itu dapat dipindahkan ke luar negara.

''Kita tahu enjin itu dibawa ke Uruguay tetapi di mana enjin itu sekarang saya tidak tahu, kita kena minta bantuan pihak berkuasa negara terbabit," katanya.

Peguam Negara turut enggan mendedahkan pihak yang membeli dua enjin pesawat tersebut sama ada ia terdiri daripada sebuah pertubuhan atau negara tertentu.

''Soalan itu sangat baik tetapi siasatan sedang dijalankan, kita tidak boleh dedahkan," katanya.

Tiada ulasan: