Ahad, 19 April 2009

Tiga tahanan baru ISA : GMI akan adakah himpunan besar-besaran

Oleh: Rusnizam Mahat


Gabungan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah penahanan rakyat yang tidak bersalah selain tiga tangkapan terbaru dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

GMI turut mengecam penahanan terbaru tiga orang di bawah akta kejam tersebut di sebalik janji manis kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru, Najib Razak membebaskan 13 tahanan ISA pada awal bulan ini.

Najib juga ketika dalam ucapan sulungnya setelah menjawat jawatan tersebut berikrar akan mengkaji semula ISA tetapi ternyata beliau membohongi janji tersebut kepada seluruh rakyat.

Sehubungan itu, Pengerusi GMI, Dr Syed Ibrahim Syed Noh menyerahkan dua memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di pejabat suruhanjaya itu pada 17 April lalu berkaitan penahanan terbabit dan desakan supaya ISA segera dimansuhkan.

“GMI kesal kerana penahanan ini berlaku menjelang perlantikan perdana menteri yang baru pada 3 April lepas, di sebalik pengumuman beliau tentang 13 orang tahanan dibebaskan,”ujarnya ketika menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya Suhakam, N.Sivasubramaniam

Menurut Syed Ibrahim, tiga tahanan tersebut dikenali sebagai Agus Salim, Abdul Matin dan Johar Hassan yang ditahan di bawah seksyen 73(1) Akta ISA 1960 yang membawa kepada penahanan selama 60 hari.

Agus Salim,32 yang berasal dari Medan, Indonesia dan bekerja sebagai tukang masak ditahan di restoran Tom Yam tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac lalu. Beliau merupakan bapa mertua kepada tahanan ISA yang baru dibebaskan, Zaini Zakaria.

Abdul Matin,60 pula dituduh terlibat dengan Jemaah Islamyiah (JI), ditahan di Ulu Tiram, Johor pada 1 April lalu, manakala tahanan ketiga, Johar Hassan tidak mempunyai sebarang maklumat tetapi dipercayai ditahan antara bulan Mac dan April tahun ini.

“Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh Polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana mereka ditahan,” ujar Syed Ibrahim.

“GMI mengecam tindakan penggunaan ISA yang menafikan hak perbicaraan dan hak untuk membela diri terhadap tiga individu tersebut,”katanya.

“GMI ingin mengingatkan bahawa dalam tempoh 60 hari di bawah ISA merupakan satu tempoh berlakunya proses intimidasi serta penyeksaan fizikal dan mental terhadap tahanan,”ujarnya.

Menurut beliau, dengan penahanan terbaru ini, jumlah tahanan ISA kini telah meningkat seramai 30 orang dan empat daripadanya telah ditahan selama lebih enam tahun.

Syed Ibrahim dalam kenyataannya turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak yang mengumumkan untuk mengkaji semula akta tersebut sepertimana terkandung dalam ucapan sulungnya sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru.

“GMI, ingin menegaskan bahawa asas-asas ISA bercanggah dengan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip keadilan, kebebasan serta kedaulatan undang-undang. ISA bukan sahaja perlu dikaji semula tetapi perlu dimansuhkan,”tegas beliau.

Mengulas lebih lanjut, Syed Ibrahim berkata antara tahanan ISA yang masih merengkok di Kamunting ialah Tahanan-tahanan Hindraf, Jemaah Islamiyah, Kumpulan Darul Islam dan mereka yang ditahan atas pelbagai tuduhan termasuk terlibat dengan agensi perisikan asing.

Beliau juga menyatakan bahawa janji kerajaan menerusi perdana menteri baru, Najib Razak untuk melakukan pembaharuan apabila membebaskan 13 tahanan ISA pada awal bulan ini terbukti palsu.

“Ada lagi tahanan yang tidak dibebaskan yang masuk tahun ke 7 dan ke 8, dan kita tidak faham apa asas penahanan yang lebih lama. Di samping itu ada ramai lagi yang ditahan atas tuduhan yang sama dengan yang dibebaskan ini,”katanya.

“Jangan kita tertipu dengan apa yang berlaku dan hari ini terbukti apabila tiga orang ini ditahan, hanya beberapa hari pengumuman di buat,”ujarnya.

Menjawab kepada satu soalan, Syed Ibrahim berkata GMI akan tetap meneruskan perancangan untuk mengadakan perhimpunan anti-ISA secara besar-besaran bagi menuntut akta itu dimansuhkan.

“Kita telah bersetuju untuk himpunan ini diadakan dan tarikhnya akan dimaklumkan secara rasmi,”ujarnya.

Sementara itu, seorang adik kepada tahanan terbabit, Junaidi Salim, yang turut hadir menyerahkan memorandum berkenaan bersama ibunya merasa bimbang mengenai penahanan abangnya di bawah akta itu dan merayu pihak Polis agar segera membebaskannya.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui penahanan itu melalui majikan di restoran tempat abangnya bekerja dan tidak pernah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai hal itu.

“Sehingga saat ini kami tidak tahu apa salah yang telah dilakukan oleh abang saya. Jika pun benar beliau bersalah saya harap dia dihadapkan di mahkamah supaya jelas apa kesalahan beliau,”ujarnya.

Tiada ulasan: