Khamis, 15 Januari 2009

Selepas kakitangan awam dan masyarakat Tionghua, BN ugut guru pula

Mat Zain Mat Isa


Akibat terlalu tidak puas hati terhadap kecenderungan warga pendidik di Kuala Terengganu yang dikatakan tidak berminat mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil, Sabtu ini, pemimpin parti itu sekali lagi mengumpulkan mereka dalam majlis khas, tengahari Rabu (14 Januari).

Majlis yang diadakan di sebuah hotel di tengah Bandaraya Kuala Terengganu itu menampilkan seorang wakil rakyat Umno dan juga bekas anggota Exco kerajaan negeri penggal lalu sebagai pengucap utama.

Sekumpulan guru terpilih yang juga pengundi di kawasan pilihan raya itu, kali ini diberikan kata dua, sama ada mengundi BN atau menghadapi risiko tindakan oleh kerajaan.

Wakil rakyat berkenaan antara lain dikatakan mengugut para guru agar jangan sesekali berfikir untuk tidak mengundi BN.

"Jika BN kalah (Sabtu ini), sahlah ia kerana guru-guru tidak mengundi BN," herdik wakil rakyat, yang memang terkenal bermulut celupar itu.

Taktik ugutan sebegitu dilaporkan telah acapkali diguna para pemimpin BN sebelum ini. Pernah sekumpulan kakitangan kerajaan negeri dikumpulkan untuk tujuan kempen. Mereka juga diberikan kata dua sebegitu.

Sebelum ini, Menteri Besar sendiri dalam satu kenyataannya mengugut untuk tidak meneruskan projek-projek membangunkan Kuala Terengganu sekiranya BN kalah.

Amaran dan ingatan serupa turut disebutnya kepada masyarakat Cina yang menghuni Kuala Terengganu.

Bahkan, dalam perjumpaan tertutup dengan sekumpulan guru sebelum ini, para pemimpin BN dikatakan telah pun menakutkan mereka agar jangan cuba mengkhianati BN. Diumumkan kononnya BN telah menugaskan sebilangan para guru sendiri sebagai 'agen pemantau' di setiap sekolah, bagi memastikan tiada guru yang memihak kepada PAS dalam pilihan raya ini. Kaum Cina telah bertindak balas dan membantah nada ugutan dibuat pemimpin BN itu. Menteri Besar akhirnya terpaksa 'meminta maaf'. Para guru pula tidak perlu memperjudikan kerjaya dengan menzahirkan bantahan terhadap BN. Cukuplah dengan mereka zahirkan sikap menerusi peti undi, Sabtu ini. _

Tiada ulasan: