Sabtu, 3 Januari 2009

Medan uji populariti ketua bahagian Umno, PAS

Oleh G. MANIMARAN


ANALISIS: Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sudah dua minggu diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi semula pada 2004 dan kemudian 8 Mac lalu.

Kini, beliau mempunyai tugas berat bagi memenuhi harapan BN itu.

Malam tadi, Farid melihat pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut sebagai calon yang mewakili PAS dan Pakatan Rakyat tidak akan mengubah pendekatan BN untuk membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu. Bagi Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa PAS semasa kempen nanti, kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Jelas Farid, rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian dan memilih wakil BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum itu.

Pada malam pertama tahun baru 2009, Mohd. Abdul Wahid telah dinamakan sebagai calon PAS untuk pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu. PAS memenagi kerusi itu pada 1999.

Ketika mengumumkan nama calon itu, Abdul Hadi mengakui bahawa beliau sendiri yang memilih Mohd. Abdul Wahid, 52, yang menjadi ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990.

Jelas Abdul Hadi, dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah dan istiqarah.

Berdasarkan kenyataan Abdul Hadi, Mohd. Abdul Wahid dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal. Mohd. Abdul Wahid pernah memegang jawatan sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003.

Berdasarkan pengalaman politik tiga dekad, Mohd. Abdul Wahid dilihat mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.

"Calon kami mempunyai banyak pengalaman sebagai wakil rakyat... tidak pernah kalah dalam lima pilihan raya umum lepas, dan dia menepati kehendak ramai," kata Abdul Hadi.

Mohd. Abdul Wahid merupakan Bendahari PAS Terengganu dan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu. Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sains Marin dan Perikanan dari Universiti Putra Malaysia.

Mengenai saingan beliau dengan Farid yang merupakan pemimpin peringkat nasional, Mohd. Abdul Wahid berkata, kedudukan itu tidak menjamin kemenangan seseorang calon.

Sehingga petang semalam, banyak pihak dan penganalisis menganggap bahawa ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad akan menjadi calon pilihan. Personaliti lain termasuklah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali. Mac lalu PAS diwakili oleh Naib Presidennya, Mohamed Sabu.

Kelmarin, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menafikan parti itu dibelenggu kemelut perebutan dan konflik untuk memilih calon yang sesuai bagi pilihan raya kecil kali ini. Jelas Husam, tindakan parti itu mengumumkan calonnya malam tadi berbanding dengan BN merupakan satu strategi yang lebih bijak.

"Kita tidak mahu calon kita diumum terlebih awal seperti BN bagi mengelakkan calon kita terdedah kepada kritikan," katanya.

Ketika nama Mustafa dan Syed Azman banyak disebut, pucuk kepimpinan membuat kejutan dengan menurunkan ADUN Wakaf Mempelam ini.

Semua calon yang disebut-sebut sebelum ini merupakan mereka yang pernah bertanding kerusi Parlimen. Bagi PAS, selain Mohd. Abdul Wahid dilihat sebagai 'muka baru' bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, beliau juga merupakan ketua bahagian parti itu.

Dari segi pertimbangan itu, kedua-dua calon BN dan PAS mempunyai mata yang seimbang untuk menemui lebih 80,000 pemilih kelak.

Dari segi pengalaman, kedua-dua mereka pernah dan kini memegang jawatan dalam kerajaan. Mohd. Abdul Wahid merupakan bekas Exco kerajaan negeri dari 1999 hingga 2004 manakala Farid pula merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri (yang akan dilepaskan apabila meletakkan jawatan senator 5 Januari ini).

Pun begitu, ketika Farid bergiat aktif dalam politik dalam lingkungan dua dekad ini, Mohd. Abdul Wahid pula lebih tiga dekad. Pengalaman politik ini membezakan mereka.

Satu lagi faktor yang cuba ditimbangkan oleh PAS ialah usia ketika ada yang mahu pemimpin veteran dipilih sebagai calon manakala yang lain mahu pemimpin yang muda. Nampaknya, Mohd. Abdul Wahid dilihat sebagai pemimpin yang duduk tengah antara yang berusia dan muda.

Dalam mengumumkan calonnya agak lewat berbanding BN, PAS telah menggunakan dengan baik strategi politik dalam memilih.

Fasa seterusnya ialah 6 Januari apabila gelanggang pertandingan dibuka untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: