Khamis, 8 Januari 2009

Kempen pilihan raya...apabila Umno disamakan dengan Israel

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Konflik Israel-Palestin yang masuk minggu kedua turut menjadi bahan berkempen ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di sini sekarang dengan parti-parti politik menyelitkan perkembangan di Asia Barat itu dalam ceramah masing-masing.

Sejak minggu lalu pemimpin-pemimpin PAS menggunakan perkembangan serangan Israel ke atas Palestin sebagai mukadimah ucapan masing-masing.

Malam tadi ia turut menjadi sebahagian ucapan Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hampir satu pertiga dari tempoh kira-kira 30 minit berucap dalam ceramah perdana di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang, Anwar menceritakan pendekatan Umno dalam isu berkenaan dan kesengsaraan dialami penduduk Israel.

Beliau mengaitkan Umno sebagai Israel. Anwar yang semalam kembali dari Turki juga berkongsi pengalaman ketika berada di negara itu.

Kempen rasmi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bermula semalam sejurus selepas proses penamaan calon.

Ketika ditemui wartawan pada sidang media selepas merasmikan bangunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pagi ini, Anwar, yang ditanya sejauh mana beliau menyamakan Umno dengan Israel ketika berucap semalam, berkata:

"Saya tak ingat sampai ke situlah."

"Perbezaan pendapat kita jangan sampai ke arah itu... yang ditekankan, dalam PAS dan didukung oleh Pakatan Rakyat ialah ini adalah satu pertembungan dasar.

"Satu (pihak) mahu negara hukum ikut Perlembagaan, ikut undang-undang, jangan tangkap orang sewenang-wenangnya, hina dan mengaibkan orang, adakan sistem badan kehakiman yang bebas, badan rasuah yang bebas, membanteras rasuah.

"Ini pendirian kita, kemudian penghayatan Islam, memartabatkan bahasa, ini yang kita perjuangkan," kata Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sambil menambah bahawa "tapi saya tidak mahu dikaitkan dengan Israel."

Apabila turut ditanya sama ada sedia bekerjasama dengan Ketua Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Huseein tentang usaha pihaknya mahu mengadakan perhimpinan membantah Israel di ibu negara minggu ini, Anwar berkata:

"Saya tiada halangan untuk sesiapa bekerjasama, tak payah umno... Cina, India, Kristian, Buddha, Islam... sepatutnya dalam hal ini ialah soal hak asasi.

"Bila bom dilontar (serangan pengganas) di Mumbai (November lalU) kita tidak kira siapa, dan kita kutuk tindakan yang tidak adil."

Justeru, kata beliau, pihaknya mahu parameter yang jelas tentang matlamat dan bentuk perhimpunan yang hendak diadakan kelak.

"Saya setuju kalau Datuk Hishammuddin hendak adakan pertemuan, beliau bincang dulu parameter siapa (rakyat Palestin yang dirujuk)... bagi saya kalau hendak menyokong rakyat Palestin, sokong semua rakyat Palestin, jangan sekat Hamas atau jangan sekat mana-mana golongan yang mendapat sokongan rakyat,

"Jangan ikut agenda Amerika, Amerika tak mahu Hamas... Umno pun tidak mahu Hamas. Kalau begitu memang menjadi sukar bagi kita. bagi kita, kita menyokong perjuangan rakyat palestin," kata beliau.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditanya sejauh mana isu tersebut digunakan dalam kempen kali ini berkata, ia hanya disentuh secara sepintas lalu.

Mustafa hadir ceramah malam tadi dan majlis Anwar pagi ini.

"Hanya disentuh secara umum sahaja. Kebanyakan isu yang disentuh adalah isu tempatan dan nasional," kata beliau yang juga Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Kata beliau, PAS tidak menyamakan Umno dengan Israel buat masa sekarang, sebaliknya hanya sebagai Hamas dan Fatah.

"Hamas merujuk kepada PAS dan Fatah merujuk pada Umno... itu sahaja," kata beliau yang turut mengakui PAS pernah melabelkan Umno sebagai Israel apabila kerajaan pusat tidak memberi wang royalti secara terus kepada kerajaan negeri Terengganu yangh dipimpin PAS dari 1999 hingga 2004.

Semalam, Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir ketika melancarkan jentera peti undi Kampung Nibong juga ada menyentuh konflik tersebut.

Dalam ucapannya, calon Ketua Pemuda Umno itu meminta agar tidak bertindak sehingga boleh menjadikan negara ini seperti keadaan di rantau Asia Barat.

Tiada ulasan: