Sabtu, 10 Januari 2009

Kebakaran di LCCT: Penumpang, pekerja dipindah

MALAYSIA KINI

Kebakaran berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pagi tadi, menyebabkan semua penumpang dan kakitangan dipindahkan dan semua penerbangan digantung, kata seorang pegawai kanan AirAsia.

Operasi diterminal itu pulih sepenuhnya pada kira-kira jam 1.30 tengahari.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes berkata, kebakaran itu yang berlaku di seksyen baru yang sedang dalam pembinaan, telah berjaya dipadamkan dan tiada laporan mengenai sebarang kecederaan

Katanya, beliau bangga dengan tindakan cepat kakitangannya memindahkan orang ramai di situ.

Fernandes memberitahu AFP yang kebakaran itu berlaku pada jam 11.15 pagi.

Para pegawai AirAsia pula berkata, kebakaran itu, yang mengakibatkan operasi di situ terhenti, mengeluarkan asal tebal tetapi gagal menghidupkan penggera kebakaran.

Kakitangannya bagaimanapun membawa keluar mereka yang berada dalam terminal tersebut.

Seksyen baru di LCCT itu, di mana kebakaran berlaku pagi tadi, dijadual dibuka beberapa bulan lagi.

Sementara itu, The Star memetik Tony sebagai berkata, tiada penerbangan yang dibatalkan, tetapi lebih 20 penerbangan dijangka terlewat.

Nampak asap

Seorang saksi di tempat kejadian, ahli perniagaan Chan Ze Hoe, 31, berkata, sekurang-kurangnya dua buah kereta bomba tiba diterminal tersebut.

Katanya, beliau tiba di terminal untuk penerbangannya tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam.

"Saya terkandas dalam bas di luar LCCT dan pada mulanya saya sangka berlaku kesesakan lalulintas...saya turun dari bas tersebut dan berjalan ke arah terminal," katanya.

"Saya dapat lihat asap keluar dari bangunan LCCT. Terdapat beratus-ratus orang di luar bangunan tersebut," tambahnya.

Terminal LCCT itu dibuka pada 2006 dan terletak 20km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia digunakan doleh AirAsia, Cebu Pacific dan Tiger Airways.

Terminal LCCT berbentuk seperti bangunan gudang itu dibina dengan harga RM100 juta, dengan kemampuan mengendalikan 10 juta penumpang setahun.

Semalam, AirAsia mengumumkan rancangannya untuk berpindah ke lapangan terbang miliknya sendiri bernilai RM1.6 bilion di luar Kuala Lumpur, kerana LCCT sekarang sudah terlalu sesak.

Tiada ulasan: