Rabu, 21 Januari 2009

Ahli Parlimen Kuala Terengganu baru mahu kekal ADUN

Oleh G. MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru, Mohd. Abdul Wahid Endut yang memenangi pilihan raya kecil semalam akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Kata Ketua PAS Kuala Terengganu itu, beliau tidak sama sekali akan meletakkan jawatan walaupun ada pihak-pihak tertentu mendesakknya berbuat demikian.

"Saya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik... tiada sebab untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN," kata beliau di sini hari ini.

Mohd. Abdul Wahid merupakan ADUN Wakaf Mempelam sejak lima penggal berturut-turut.

Beliau memenangi penggal kelima 8 Mac lalu.

Semalam beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Ini kali pertama beliau bertanding kerusi Parlimen.

Wakaf Mempelam merupakan salah satu daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Kuala Terengganu.

Dua yang lain dikuasai PAS dan satu lagi iaitu Bandar merupakan milik BN.

Mohd. Abdul Wahid menjelaskan beliau ada menerima SMS yang meminta beliau melepaskan jawatan ADUN jika menang.

"Saya tidak membalas SMS itu dan saya pun akan tetap kekal sebagai ADUN," katanya.

Jelasnya, beliau tiada masalah untuk meneruskan kedua-dua kerusi ADUN dan Ahli Parlimen serentak memandangkan telah mewakili DUN Wakaf Mempelam dengan baik.

"Malah ada juga wakil rakyat memegang kedua-dua kerusi peringkat negeri dan Parlimen seperti Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan beberapa wakil rakyat yang lain.

"Cuma saya hendak membahagi-bahagikan masa dengan seimbang dalam hal ini," katanya.

Tiada ulasan: