Selasa, 6 Januari 2009

3 sah bersaing, gelanggang Kuala Terengganu diakui sengit

Oleh G.MANIMARAN
[DIKEMAS KINI 2.30 PETANG]


KUALA TERENGGANU: Gelanggang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu dibuka secara rasmi pagi tadi dengan semua parti mengakui bahawa ia bakal menyaksikan persaingan sengit - lebih sengit daripada dua pilihan raya kecil sejak awal 2007.

Ia menjadi rebutan tiga 'muka baru' sama sekali di peringkat Parlimen Kuala Terengganu.

Tiga calon tersebut ialah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Sallleh dari Barisan Nasional (BN), Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan seorang calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pilihan raya umum ke-12 Mac lalu juga menyaksikan persaingan tiga penjuru iaitu masing-masing calon BN, PAS dan Bebas.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Razali menang kerusi itu dengan majoriti 628 undi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen ini ialah seramai 80,229 orang.

Hari pengundian pula ditetapkan pada 17 Januari ini.

Di sebalik publisiti sebelum ini, dua calon masing-masing dari parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan calon tanpa parti melakukan 'kejutan' dengan tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Naib Presiden AKIM, Harun Mohamed dan Isma Airfath Hassanuddi tidak menyerahkan borang. Sebanyak 11 borang penamaan calon dikeluarkan oleh SPR setakat semalam.

Harun hadir di pusat penamaan calon pagi ini tetapi tidak mengemukakan borang penamaan calon manakala Isma tidak kelihatan langsung di pusat penamaan calon.

Proses penamaan calon telah berjalan dengan lancar dan baik, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika ditemui tengah hari tadi.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar," kata beliau ketika ditemui.

"Ini merupakan proses penamaan calon paling lancar sejak pilihan raya kecil Ijok, Selangor. Tiada apa-apa insiden yang tidak diingini berlaku," kata Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Shukri Dahlan yang mempunyai pengalaman mengendalikan pilihan raya kecil Ijok dan Permatang Pauh.

Tiada ulasan: