Sabtu, 2 Ogos 2008

Sekolah aliran Cina tidak terima pembiayaan kerajaan sewajarnya?
mstar online

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen hari ini memberitahu Mahkamah Pilihan Raya bahawa sekolah-sekolah Cina tidak menerima pembiayaan sewajarnya dari kerajaan.

Memetik kenyataan pergerakan kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, katanya sekolah rendah jenis kebangsaan menerima 95.06 peratus peratus daripada jumlah peruntukan sebanyak RM4,837,300 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Chong, 37, berkata kenyataan Dong Jiao Zong bertarikh 31 Sept 2006 itu menyatakan sekolah rendah Cina hanya mendapat 3.60 peratus manakala sekolah rendah Tamil pula hanya 1.34 peratus daripada peruntukan tersebut.

Chong, Ahli Parlimen Bandar Kuching selama dua penggal, memberi keterangan pada perbicaraan petisyen pilihan raya terhadapnya yang difailkan oleh seorang pengundi, Kho Whai Phiaw.

Katanya daripada jumlah 3,044,396 murid sekolah rendah pada 2006, 75.74 peratus daripada mereka belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan, 20.96 peratus (sekolah Cina) dan 3.30 peratus belajar di sekolah rendah Tamil.

"Adalah jelas bahawa dana pembangunan yang diperuntukan kepada sekolah Cina tidak seimbang dengan jumlah murid dan aliran ini bermula sejak 1991 sehingga hari ini," katanya ketika disoal balas oleh peguamnya Chan Kok Keong.

Kho, 64, memohon perisytiharan bahawa keputusan pilihan raya umum ke12 bagi kerusi itu pada 8 Mac lepas adalah batal dan tidak sah atas alasan Chong telah mencampuri atau cuba mencampuri hak kebebasan pengundi sekali gus bertentangan dengan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada pilihan raya tersebut, Chong, calon DAP, memperoleh 22,901 undi dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Sim Yaw Yen dengan majoriti 9,952 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Dalam kenyataan lain dari pergerakan itu bertarikh 23 Julai tahun lepas, Chong berkata, sekolah rendah Cina hanya menerima antara 2.44 peratus dan 3.60 peratus jumlah dana pembangunan di bawah RMK7, RMK8 dan RMK9.

Beliau berkata perangkaan Kementerian Pelajaran dari 1981 hingga 2006 menunjukkan bahawa terdapat pertambahan 1,255 buah sekolah rendah kebangsaan tetapi penurunan 19 buah sekolah Cina dan 56 sekolah Tamil pada tempoh yang sama.

Chong, yang juga anggota Lembaga Jawatakuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua 1,2,3,4,5 dan 6, menyangkal keterangan setiausaha eksekutif BN Datuk Yaakob Mohammad bahawa kerajaan akan menambah nilai setiap ringgit ke ringgit yang dikutip bagi penyelenggaraan sekolah rendah Cina.

Berdasarkan pengalaman peribadinya, Chong berkata, lembaga itu telah mengumpul kira-kira RM600,000 untuk menyelenggara kemudahan sekolah seperti kerjakerja membaiki, membeli kerusi dan meja serta komputer.

"Saya tidak fikir keterangan Yaakob itu betul. Saya tidak pernah mendengar Kementerian Pelajaran atau mana-mana menteri menyebut bahawa kerajaan akan menambah nilai kutipan setiap ringgit bagi ringgit yang dikutip oleh jawatankuasa pengurusan sekolah Cina sepanjang saya berada di Parlimen selama empat tahun," katanya.

Chong, seorang peguam, berkata lembaga sekolah Cina dipaksa mencari sumber kewangan untuk menyelenggara sekolah jika gagal maka sekolah mereka akan ditutup berikutan keadaan bangunan sekolah yang semakin merosot.

Tiada ulasan: