Rabu, 6 Ogos 2008

Saravanan digesa jangan campuri urusan Kampung Baru
Herman Samsudeen

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' M. Saravanan; Ketua Bahagian Umno Titiwangsa, Dato' Seri Suleiman Mohamed, dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Baharim Razak berhubung isu Kampung Baru dalam media hari ini benar-benar mengejutkan ramai pihak.

Apa yang difokuskan adalah tentang penglibatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah diajak berdialog bersama penduduk Kampung Baru pada 3 Ogos yang lalu. Program dialog berkenaan adalah anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Dato' Hj. Mohamad Ghazali.

Kenyataan ketiga-tiga mereka memperjelaskan lagi keengganan Umno dan Barisan Nasional dalam membantu penduduk Kampung Baru dengan erti kata yang sebenarnya.

Mereka bersembunyi di balik jawatan masing-masing tetapi hakikatnya mereka juga mempunyai kaitan dengan Gabem iaitu sayap ekonomi Umno yang terlibat dalam perancangan membangunkan Kampung Baru.

Kerajaan Selangor punyai kepentingan di Kampung Baru

Dalam kekalutan mereka menghentam Menteri Besar Selangor mereka terlupa bahawa Kerajaan Selangor mempunyai aset dan hartanah yang bernilai tinggi di Kampung Baru.

Isu campurtangan Menteri Besar Selangor sengaja dihangatkan dan mereka bersepakat untuk memastikan Kerajaan Selangor melepaskan kepentingan mereka di kampung Melayu terakhir ini.

Kehadiran Menteri Besar Selangor pada Ahad lalu adalah untuk perbincangan dalaman yang hanya melibatkan pemilik dan pewaris tanah. Tiada sesiapa pun orang luar dibenarkan bersuara kecuali Ahli Parlimen Titiwangsa yang turut dipertanggungjawabkan menjaga seluruh Titiwangsa termasuklah Kampung Baru.

Tan Sri Khalid hadir sebagai mewakili Kerajaan Negeri yang turut menjadi pemilik tanah di Kampung Baru,jadi tidak timbul isu bahawa Kerajaan Selangor tidak boleh campurtangan.

Beliau juga berhak untuk menghantar wakil untuk memastikan tanah-tanah PKNS dan mereka yang masih menjadi rakyat Selangor di Kampung Baru terpelihara.

Menteri Besar Selangor juga berhak membantah Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 yang dicadangkan jika ianya memberikan kesan negatif kepada aset Kerajaan negeri yang ada di situ.

Justeru itu, saya meminta agar pihak Kementerian Wilayah, Umno, Persatuan Penjaja dan DBKL menghormati kedudukan dan hak Menteri Besar Selangor.

Penduduk tidak tolak pembangunan

Sejak zaman kemerdekaan lagi, Kampung Baru telah banyak diabaikan. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, di dalam kawasan kampung ini Kerajaan Negeri Selangor telah membangunkan beberapa aset mereka untuk dijadikan kediaman bagi kegunaan penduduk seperti Flat PKNS. Tetapi di peringkat DBKL belum ada lagi sebarang flat atau projek perumahan yang dibangunkan.

Jadi tidak hairanlah jika penduduk Kampung Baru lebih menghormati Kerajaan Selangor berbanding Kementerian Wilayah atau pun DBKL.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna penduduk menolak bantuan atau pembangunan yang dicadangkan oleh DBKL seratus peratus. Tidak dinafikan memang ada cadangan yang positif tetapi secara keseluruhannya perbincangan semula perlu diadakan memandangkan kebanyakkan penduduk masih tidak puas hati dengan Yang DiPertua MAS yang tidak pernah turun sendiri untuk berdialog dengan pemilik dan waris di Kampung Baru.

Kedudukan Yang DiPertua MAS dipersoalkan

Difahamkan juga bahawa Yang DiPertua MAS yang juga Datuk Bandar Kuala Lumpur bukanlah anak jati Kampung Baru dan beliau juga tinggal di Putrajaya bukannya di Kampung ini.

Malah lebih menyedihkan, beliau juga tiada hartanah di Kampung ini. Duduknya beliau dijawatan itu hanya kerana beliau itu Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Jadi jika ingin dipersoalkan tentang kerelevenan beliau sebagai Yang DiPertua MAS memang boleh dan beliau sendiri tidak layak untuk membuat keputusan bagi pihak penduduk Kampung Baru terhadap Draf yang dicadangkan oleh DBKL.

Jika Saravanan, Suleiman Mohamed dan Baharim Razak ingin jadi hero mereka sewajarnya memberikan amaran dan meminta Datuk Bandar letak jawatan dari menjadi Yang DiPertua MAS dan tempatnya itu digantikan oleh anak Kampung Baru yang dipilih melalui pilihanraya kecil peringkat penduduk sebagaimana yang berlaku sebelum tahun 1961.

Selain itu, Saravanan yang juga ahli Parlimen Tapah selayaknya meletakkan jawatan dari menjadi Timbalan Menteri Wilayah kerana beliau patut jaga pengundi beliau di sana bukannya Wilayah Persekutuan. Jika ingin bicara soal hak, jawatan beliau dalam parti MIC masih belum cukup untuk membolehkan beliau bercakap soal Kampung Baru.

Saya mengingatkan agar ketiga-tiga individu ini tidak bertindak bodoh untuk menyerang pihak-pihak berkepentingan dalam isu Kampung Baru ini jika mereka tidak mahu dimalukan kelak.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa sedia bekerjasama

Di peringkat pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa, kami berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang menyumbang RM 50,000 bagi membantu pihak kami mengadakan penyelidikan dan cadangan pembangunan Kampung Baru bersama penduduk.

Sebelum ini kami hanya bekerja sendiri dengan mengunakan pakar-pakar yang ada kalangan kami, dan selepas waktu ini diharapkan akan lebih ramai lagi profesional dari kalangan penduduk yang mahu bekerjasama.

Ahli Parlimen Titiwangsa sendiri akan mengumumkan hasil dan bentuk cadangan yang diinginkan oleh penduduk selepas kertas kajian berhubung masa depan Kampung Baru disiapkan.

Kami juga membuka ruang yang luas untuk mengadakan kerjasama dengan DBKL dan terpulanglah kepada Datuk Bandar dan Ketua Pengarah DBKL untuk memikirkan bentuk kerjasama itu.

Mereka sewajarnya menghormati wakil rakyat yang dipilih dan tidak bekerja hanya untuk Barisan Nasional dengan mengunakan uniform DBKL.

Sudah banyak program kemasyarakatan yang melibatkan organisasi Kementerian Wilayah dan DBKL di dalam kawasan Titiwangsa, tetapi sengaja tidak dimaklumkan atau menjemput ahli Parlimen Titiwangsa.

Permainan politik ini sewajarnya dihentikan agar rakyat dapat menikmati hak mereka yang telah memilih wakil rakyatnya.

Setiausaha Politik,
Ahli Parlimen Titiwangsa,
Dr Lo'lo Dato' Hj Mohamad Ghazali.
_

Tiada ulasan: