Rabu, 13 Ogos 2008

Politik wang kuasai perebutan jawatan Bahagian Umno
Ibrahim Othman

Bukan sekali, bukan dua kali, cakap-cakap mengatakan berlakunya politik wang dalam pemilihan Umno kedengaran. Paling baru, dari Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dato' Mustapa Mohamed mendakwa berlaku politik wang yang cukup teruk bermula di peringkat cawangan

Sebelum ini, seorang lagi Ahli MT, Dato' Seri Dr. Rais Yatim turut mengulangi dakwaan serupa, kononnya dia sukar untuk mendapat sokongan untuk bertanding kerana dia 'seorang calon yang tidak berduit'.

Kebetulan, seorang calon ketua bahagian di Negeri Sembilan, ditahan BPR kerana didakwa member duit RM500 kepada seseorang yang dipercayai ketua cawangan, di tempat parkir kereta di sebuah pusat membeli belah di Seremban.

Ketua Umno Bahagian Pengerang, Harun Abdullah yang gagal dalam usahanya mempertahankan jawatan ketua bahagian itu, turut membuat dakwaan berlaku politik wang hingga dia 'tewas' awal di tangan Menteri Perlancongan, Dato' Seri Azalina Othman Said.

Penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Dato' Seri Syed Hamid Albar turut bercakap perkara yang sama, mengenai politik wang berlaku di bahagiannya hingga - dia menyifatkan sebagai pemilihan yang terburuk pernah ditemuinya selama menjadi pemimpin Umno.

Dari cakap-cakap dan kenyataan yang dibuat pemimpin tinggi Umno ini, jelaslah kepimpinan Umno di semua peringkat sedang ‘ kemaruk ‘ mengejar kedudukan. Yang masih menyandang jawatan, mahu mempertahankannya mati-matian. Yang masih belum dapat, berusaha mendapatkan jawatan itu, juga secara habis-habisan.

Ketika Umno dan BN hampir-hampir hilang kuasa di peringkat pusat dan sudah hilang kuasa di enam buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), kepimpinan Umno di peringkat cawangan dan bahagian, termasuk penyandang jawatan Majlis Tertinggi tidak pernah insaf bahawa parti itu perlu dirawati dan diubati, bukan disakiti.

Tindak-tanduk mereka ini, tidak kiralah di mana kedudukan mereka, sama ada di cawangan, bahagian atau MT, masing-masing mahu menegakkan benang yang basah. Mereka merasakan merekalah yang betul dan merekalah yang patut kekal sebagai ketua dan orang lain tidak layak.

Dengan jawatan yang mereka ada, termasuk kedudukan sebagai menteri, digunakan semaksimum mungkin untuk mempertahankan jawatan.

Sebenarnya, bukan setakat duit dihulur, macam-macam cara lain digunakan. Antaranya, menjanjikan habuan dalam pelbagai bentuk termasuk anugerah bintang-bintang sempena hari keputueraan Yang DiPertuan Negeri.

Apakah Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail yang sudah menggunakan kerusi roda mendengar semua cerita ini? Atau, dia hanya menunggu aduan dibuat dan selepas pelbagai tapisan dilalui, dia hanya membicarakannya sahaja?

Boleh dikatakan, hampir 100 peratus aduan yang dibuat itu benar. Cuma, yang mengadu itu sendiri pun terlibat dengan politik wang dan salah guna kuasa. Cuma, mereka bernasib baik, kerana pengadu mungkin tidak pandai membuat aduan dan tidak dapat mengemukakan cukup bukti. Dari segi moralnya, mereka semuanya terlibat, secara langsung atau secara tidak langsung.

Cuma, kemungkinan mereka yang buat bising di luar ini adalah dari kalangan 'hendak menang percuma' dan tidak mahu 'berpeluh'. Di peringkat cawangan, mereka yang terpilih menjadi perwakilan cawangan ke bahagian, merasakan, diri mereka tidak dihargai kalau kepimpinan bahagian ‘ menang percuma ‘.

Mereka (baca: kepimpinan bahagian) akan menggunakan kepetahan bercakap, kononnya sayangilah parti dan ketepikan kepentingan peribadi) sedangkan mereka yang bercakap sedemikian, sebenarnya 'meletakkan kepentingan peribadi mereka lebih dari kepentingan parti'. Mereka itu, sebahagiannya pernah menentang Umno dan bertanding dalam pilihan raya, atas tiket pembangkang.

Bila sudah kembali ke pangkuan Umno, mereka mengambarkan diri mereka jauh lebih 'mencintai Umno' dari mereka yang tidak pernah keluar meninggalkan Umno. Inilah politik Umno, politik yang penuh dengan kelucuan yang sepatutnya Festival Filem Asia, atau di peringkat Malaysia menganugerahkan sebarang trofi kepada mereka ini, kerana ‘ menjadi pelakon komidi ‘ terbaik tahun di mana pemilihan Umno berlangsung.

Tidak ada pula yang mengeluarkan kenyataan mengenai berlaku politik wang itu mahu menawarkan diri mereka menjadi 'ahli lembaga disiplin' bagi membicarakan orang yang didakwa menjadi 'pertualang'.

Maksudhnya, jika benar berlaku politik wang di bahagian masing-masing, lebih baik mereka mengundurkan diri, dari melibatkan diri secara terus. Apa yang jadi masalah, bila mereka menang, mereka senyap tetapi bila mereka kalah, mereka bising.

Tidak hairanlah, kalau kepimpinan Pas tidak berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Umno/BN, kerana apa yang berlaku, termasuk semakin ramai bertindak keluar dari MIC, MCA dan Gerakan, seolah-olah Umno-BN sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Di Bahagian Permatang Pauh, khabarnya ada lima calon Ketua Bahagian akan berentap. Bahagian ini, adalah bahagian di mana Umno-BN kalah dalam pilihan raya. Mereka bukan sahaja enggan bersatu, untuk memperkuatkan parti, sebaliknya secara beramai-ramai sepakat, biar hancur lebur semuanya. Mungkin mereka beranggapan, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Mereka ini, bekerja untuk bertanding dalam Umno, lebih kuat dari mereka bekerja untuk menghadapi pilihan raya. Tidak kiralah, pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, mereka mempunyai persepsi masing-masing, kalau 'sianu menang' si anu akan jadi ketua bahagian. 'Habislah peluang aku', jadi, kalahkah dia dalam pilihan raya, baru mudah mengalahkannya dalam bahagian (pemilihan Umno bahagian).

Bertanyalah dengan semua kepimpinan bahagian (dan cawangan), apakah mereka bersetuju dengan cakap-cakap seperti ini?

Malahan, di peringkat Majlis Tertinggi sekali pun, mereka akan ada 'cara buang undi' untuk memastikan 'orang tentu' dikalahkan'. Betul tak? Maka akan kedengaran jawapan dari mereka yang faham politik Umno, 'jangan diubah lagi ayat itu betul! ‘. - tmj/mks._

Tiada ulasan: