Selasa, 19 Ogos 2008

PAS janji 'all-out' pastikan Anwar menang
Oleh Suhana A. Samat, Berita Harian Singapura


NAIB Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Datuk Husam Musa berkata partinya akan memberi sokongan padu kepada kempen pilihan raya kecil Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

Ini bagi menyekat gejala politik wang oleh Barisan Nasional (BN) yang akan menjejas keputusan pilihan raya itu kelak.

Dalam satu wawancara dengan Berita Harian, Datuk Husam berkata:

'Kita telah gerakkan jentera kita yang kuat dari seluruh negara, terutama dari Kedah, Kelantan dan Perak untuk pastikan perjalanan pilihan raya ini dapat dilaksanakan sebaik-baiknya, terutama sekali untuk menyekat ugutan dan politik wang yang akan dilakukan oleh BN.'

Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa BN akan menggunakan dua strategi kotor bagi mengurangkan undi majoritinya.

BN akan berkempen dari rumah ke rumah meminta para penduduk di Permatang Pauh agar tidak keluar mengundi pada 26 Ogos ini kerana kononnya beliau telah pun menang pada pilihan raya kecil itu.

'Selain itu, BN juga akan memberi RM500 kepada para pengundi supaya tidak mengundi Anwar Ibrahim. Pesan saya, ambil itu duit RM500 tapi bila undi diam-diam kasi pangkah saya,' kata mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.

Datuk Husam berkata, PAS akan membantu dari segi jentera dan tenaga manusia.

Antara langkah yang akan diambil ialah menyediakan bas bagi para pekerja kilang keluar mengundi Selasa depan.

'Pada hari tersebut, sebahagian pengundi yang merupakan pekerja kilang, bekerja. Kami bimbang ada penurunan bilangan pengundi,' kata Datuk Husam sambil menambah PAS mempunyai jentera yang tersusun di Pulau Pinang.

'Pertarungan ini kita tidak boleh ambil ringan walaupun majoriti yang diperolehi oleh Datuk Seri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) adalah besar iaitu lebih 13,000 pada pilihan raya umum Mac lalu,' tambah beliau.

Beliau selanjutnya menarik perhatian pilihan raya kecil ini merupakan satu peluang bagi Pakatan Rakyat berinteraksi dengan lebih rapat dan mengetengahkan barisan yang bersatu.

'Kita tidak boleh merendah-rendahkan hasrat dan harapan rakyat untuk melihat perubahan. Agenda sekarang bukan agenda Anwar Ibrahim, bukan agenda perseorangan tetapi agenda kebangkitan rakyat,' kata Datuk Husam.

Tiada ulasan: