Ahad, 3 Ogos 2008

Kini sudah 66 usul tolak Abdullah sebagai Presiden Umno
Malaysia Today

Jumlah cawangan Umno yang membawa usul ke bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Presiden Umno, kini meningkat kepada 66.

Perkara ini didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato' Ruhanie Ahmad dalam satu tulisannya pada blog, kudakepang.blogspot.com.

Katanya, terdapat satu cawangan dalam Umno Bahagian Kota Belud, Sabah iaitu Cawangan Kulambai Dundau, telah mengusulkan supaya bahagiannya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebuah lagi Cawangan Umno Kampung Masjid, Jeneri, dalam Bahagian Sik, Kedah, turut mengusulkan supaya Umno bahagian itu juga mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden parti.

Sebelum ini, Umno dikejutkan dengan usul Cawangan Kg. Tua dalam Bahagian Langkawi, yang bersidang pada 26 Julai lalu, agar Datuk Seri Najib Tun Razak dicalonkan sebagai Presiden Umno dan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Timbalan Presiden.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruhanie mendedahkan lagi pada blognya tentang satu usul yang yang diluluskan pada Mesyuarat Pemuda Umno Cawangan Kg. Mengkuang dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, menuntut agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan dari Jun 2010 kepada 1 Disember 2008.

Tiada ulasan: