Ahad, 1 Ogos 2021

Usah ‘bising-bising’ sebaliknya sama-samalah bantu rakyat, kata TPM


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tempoh 14 hari yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan keputusan dasar parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan pihak tertentu supaya berhenti berbuat ‘bising’ yang langsung tidak membantu rakyat menghadapi penularan Covid-19 dan kesan yang dihadapi.

Katanya isu rakyat yang tiada pendapatan akibat penularan Covid-19 sekarang ini lebih utama dan perlu difokuskan, bukannya berbalah sehingga merugikan negara.

“Sudah berulang kali saya katakan, tidak kira dari parti mana sekali pun, fokus kita kepada isu mendesak sekarang ini iaitu Covid-19, isu rakyat tiada pendapatan. Ini masalah lebih besar daripada apa yang bising hari ini.

“Sebab itu saya kata, lupakan peperangan dalam politik, yang penting kita kena bersama tidak kira dari parti mana, bantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Sebelum ini pun beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah berkali-kali mengingatkan pemimpin parti termasuk UMNO sendiri supaya menumpukan usaha membantu kerajaan dan rakyat, tetapi masih ada yang berdegil, dan terus memainkan sentimen kebencian di kalangan rakyat.

Pemimpin atasan pembangkang terutama Ahli Parlimen mereka yang saling sahut menyahut dengan sekutu mereka di dalam UMNO sendiri sering memainkan isu-isu remeh dan tidak langsung membantu rakyat menghadapi masalah akibat Covid-19.

Ismail Sabri berkata apa yang paling mendesak sekarang ini ini adalah berusaha bersama membantu rakyat yang terkesan, bukan berbalah yang akhirnya hanya merugikan negara.

Sementara itu beliau berkata orang ramai tidak perlu melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa mengambil inisiatif mendengar suara dan pandangan rakyat.

Sambil menegaskan bahawa perhimpunan seperti yang diadakan hari ini melanggar undang-undang, beliau berkata perhimpunan di tempat awam akan hanya mengundang peningkatan risiko penularan Covid-19.

Tiada ulasan: