Sinar Harian
Dr
Shahabuddin berkata, PKRC MAEPS 2.0 sememangnya bersiap sedia dengan
tangki oksigen dan mesin oxygen concentrator yang banyak bagi pesakit
yang kritikal. - Gambar fail
SHAH ALAM:
Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan oksigen di Pusat
Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo
Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang berkurang sehingga lima kali ganda
berbanding sebulan lalu.
Perkembangan itu menunjukkan ‘sinar’ bahawa situasi COVID-19 di negara ini semakin baik.
Pengarah
PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, trend penurunan positif
itu berlaku sejak tiga ke empat minggu lalu, dengan jumlah pesakit
memerlukan bantuan oksigen hanya 109 orang berbanding 525 orang sebelum
ini.
“Rekod
yang paling tinggi sebelum ini ialah 525 pesakit yang memerlukan
bantuan oksigen iaitu membabitkan pesakit COVID-19 kategori empat.
“Sekarang
jumlah pesakit yang kita ada ialah seramai 2,456 orang, dengan 109
pesakit kategori empat dan 1,930 kategori tiga, manakala warganegara
seramai 2,324 orang dan bukan warganegara 132 orang.
“Pada
8 Ogos lalu, kita mempunyai seramai 525 pesakit kategori empat dan
1,789 pesakit kategori tiga. Alhamdulillah, ini menunjukkan keadaan
semakin baik dengan pesakit kategori tiga adalah dominan ketika ini,”
katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Jelas
Dr Shahabuddin, PKRC berkenaan memang bersiap sedia dengan tangki
oksigen dan mesin oxygen concentrator yang banyak bagi pesakit yang
kritikal dengan bantuan daripada Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) serta
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun,
katanya, memandangkan jumlah pesakit memerlukan bantuan mesin itu
semakin berkurang dan keadaan sudah agak lega, sejumlah 470 mesin oxygen
concentrator diagihkan untuk kegunaan negeri lain seperti Pahang,
Johor, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.
“Apa yang boleh saya katakan, petugas kesihatan di sini boleh berasa sedikit lega dengan situasi sekarang.
“Ramai
petugas kesihatan dari negeri lain yang datang membantu kita seperti
dari Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang sudah kembali ke tempat mereka.
“Kita
jangka trend penurunan pesakit dan tahap ini akan berterusan dan
keadaan akan kembali lebih baik untuk tempoh dua ke tiga minggu lagi,”
ujar beliau.
Penurunan positif itu, katanya, membuktikan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau mengharapkan semua pegawai serta kakitangan sentiasa terus bersemangat untuk memerangi pandemik COVID-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan