Isnin, 30 Ogos 2021

Bantuan banjir melimpah-ruah, pengagihan tidak sekata

Oleh WAT KAMAL ABAS
ASYRAF Wajdi Dusuki  (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir di Alor Pongsu dekat Bagan Serai, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI: Sebuah jawatan kuasa khas untuk menyelaras sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat memberi sumbangan dan membantu mangsa bencana alam perlu ditubuhkan.

Ia bagi memastikan sumbangan dan bantuan dapat disampaikan secara tersusun dan efektif kepada mangsa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap kali berlaku bencana alam, banyak pihak yang tampil memberikan bantuan namun tidak diselaraskan dengan baik.

“Berdasarkan pengalaman dan mengambil iktibar kejadian banjir di Kelantan pada tahun 2015, bantuan dari sukarelawan dan NGO yang disalurkan kepada mangsa bencana itu banyak, melimpah-ruah namun pengagihannya tidak diselaraskan dengan baik.

“Begitu juga bencana banjir yang berlaku di Yan, Kedah baru-baru ini. Bantuan yang diterima mangsa melimpah-ruah namun pengagihannya  tidak sekata,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk dilanda banjir di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir dekat sini hari ini. 

Menurut Asyraf Wajdi, perkara itu mungkin disebabkan masalah komunikasi.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan perlu bertindak segera dengan mewujudkan satu jawatan kuasa atau majlis khas bagi menghimpunkan NGO dan sukarelawan yang terbabit dalam misi bantuan bencana.

Katanya, ini untuk memastikan bantuan yang hendak disalurkan sampai kepada semua mangsa dengan lebih efektif dan saksama.

“Jawatan kuasa itu bukanlah bermaksud kerajaan mahukan secara terperinci mengenai bantuan yang mahu disampaikan sebaliknya mahu mewujudkan satu persefahaman dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan. 

“Musibah bencana alam bermusim dan berulang, dengan wujudnya jawatan kuasa atau majlis ini, segala bentuk bantuan dapat diagihkan secara teratur dan berkesan,” katanya.

Mengenai banjir di Yan, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menghantar pasukannya untuk memberikan sumbangan dan membantu membersihkan rumah penduduk. 

“Pada fasa pertama di Yan, kita telah menghantar Skuad Sabil dan Pemuda UMNO. Di Alor Pongsu, kita juga hantar pasukan dan memberikan bantuan yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: