KOTA KINABALU: Pelantikan dua menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sabah merupakan satu pengiktirafan kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, lantikan ini menjadi bukti kepada frasa ‘Keluarga Malaysia’ yang akan memenuhi aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah ini berkata, pelantikan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya akan mewujudkan kerjasama yang lebih padu antara kedua-dua kementerian itu di peringkat Pusat dan negeri.
Kerjasama yang baik ini akan memenuhi keperluan pembangunan insfrastruktur seperti kemudahan jalan raya dan bekalan air di Sabah yang dilihat masih jauh ketinggalan.
“Pelantikan Arthur amat sesuai bagi membolehkan segala isu berkaitan pembangunan insfrastrukur di Sabah dapat disuarakan di peringkat Pusat.
“Di Sabah, kita masih mengharapkan bantuan peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi melaksanakan pembangunan dan meningkatkan kemudahan insfrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pelantikan satu-satunya wakil UMNO Sabah iaitu Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II merupakan satu pengiktirafan kepada UMNO Sabah sebagai rakan kerjasama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pelantikan ini amat tepat kerana isu pendidikan masih menjadi cabaran di Sabah. Maka, kita berharap beliau (Mohamad) akan menyuarakan keperluan pendidikan di Sabah secara langsung kepada kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Kabinet baharu ini diharap dapat bekerjasama sebagai sebuah pasukan yang mantap dan boleh bertindak pantas bagi memastikan pentadbiran negara kembali stabil.
Jelas Bung Moktar, pentadbiran baharu ini perlu diperkasakan agar usaha memulihkan ekonomi dan mengawal pandemik Covid-19 dapat dilakukan.
“Justeru, kita berharap satu idea baharu akan diperkenalkan dan disusuli dengan tindakan yang pantas. Ketika ini, rakyat sedang bergelut dengan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi sekarang sangat mencabar.
“Maka, rakyat menyimpan harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini untuk segera mengawal penularan wabak dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan