HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri mengetengahkan jemaah menteri dengan mengandingkan muka lama yang diberi peluang semula berkhidmat bagi memantapkan jemaah kabinet baru.
Antara muka lama dibawa masuk Tan Sri Noh Omar dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Timbalan Menteri, Muslimin Yahaya.
Seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Shahidan Kassim dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, timbalannya Dato’ Seri Jalaluddin Alias.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, timbalannya Dato’ Zahidi Zainul Abidin.
Selain itu, Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar, manakala Timbalan Menteri I, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II, Dato’ Hasbi Habibollah.
Muka baru iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan, timbalan menteri terbabit Senator Dato’ Seri Ti Lian Ker.
Ramalan banyak pihak Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui Kementerian Kesihatan menjadi kenyataan, dan beliau dibantu Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali dan Dato’ Aaron Ago Dagang sebagai timbalan menteri.
Bekas Menteri Luar era Kerajaan Pakatan Harapan Dato’ Saifuddin Abdullah kembali menerajui kementerian terbabit dengan dibantu Dato’ Kamarudin Jaffar.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berpindah ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, timbalannya Dato’ Sri Ismail Abdul Mutalib.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) juga bertukar peneraju apabila dilantik Dato’ Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Dato’ Mastura Mohd Yazid.
Begitu juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kini dipegang Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dato’ Wira Hajjah Mas Ermieyati Samsuddin.
Turut bertukar posisi Dato’ Zuraida Kamaruddin dilantik Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Kementerian-kementerian lain tidak menyaksikan perubahan ketara dengan mengekalkan seperti era Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan