Apabila aktivis dan perunding komunikasi strategik, Nathaniel Tan memulakan mogok lapar pada 4 Ogos lalu, dia bertegas mempertahankan tindakannya sehingga kerajaan mengambil langkah konkrit bagi menangani wabak Covid-19.
Namun berikutan berlaku perubahan politik akibat peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - mogok itu dihentikan pada 16 Ogos lalu - sebelum tuntutan itu dapat dipenuhi.
Tan dan Presiden Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBSM), Gurpreet Singh yang mengambil bahagian dalam mogok lapar selama hampir 13 hari itu berkata walaupun Muhyiddin telah meletakkan jawatan, ia bukanlah petunjuk tuntutan mereka telah dipenuhi.
"Fokus kami bagi mogok ini adalah untuk perubahan dan untuk menunjukkan berbagai ketidakpatuhan sivil dan tindakan yang boleh memberi tekanan kerajaan.
"Walaupun pengunduran Muhyiddin bukan bermaksud kami dapat semua perubahan yang kami mahukan, kami fikir ini adalah permulaan yang penuh harapan bagi perubahan yang akan datang.
"Kami fikir ini adalah masa yang tepat untuk berhenti (setelah Muhyiddin meletak jawatan) dan mungkin menumpukan usaha kami pada mogok secara maya," katanya kepada Malaysiakini.
Kata Gurpreet mogok maya itu setakat ini berjaya dan merupakan kaedah yang lebih berkesan dalam jangka masa panjang.
Mogok secara maya berkenaan termasuk berlapar di rumah, sama ada dengan hanya meminum air dan makan dengan kuantiti sedikit untuk jangka waktu tertentu.
Gurpreet adalah individu kedua yang turut serta dalam mogok itu apabila dia mengambil alih mogok berkenaan pada 9 Ogos daripada Nathaniel yang melakukan mogok lapar selama lima hari di kaki lima di sebuah bangunan di Taman Tun Dr Ismail.
Gurpreet melakukan mogok lapar di hadapan pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Petaling Jaya.
Gurpreet berkata, tindakannya bukan bermotifkan politik dan hanya berusaha untuk "mewujudkan perjuangan rakyat".
"Semasa mogok lapa inir, saya ingin merasakan dan menjadi simbol yang boleh dilihat kerajaan untuk menunjukkan bahawa rakyat sedang menderita.
"Banyak orang kehilangan pekerjaan dan tidur kelaparan setiap malam. Jadi untuk mewujudkan simbolik semacam itu penting bagi kami, ”katanya.
Tan dan Gurpreet melakukan mogok itu bagi meminta lima tuntutan menyerahkan kuasa membuat keputusan dalam hal berkaitan Covid-19 kepada pakar, menuntut dana RM500 juta kepada hospital, perkongsian data yang telus, dan perlindungan untuk petugas barisan hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan