Layanan pihak berkuasa di Malaysia terhadap pekerja warga asing di Sabah ketika pandemik Covid-19 mendapat perhatian antarabangsa dan menjadi topik perbincangan dalam persidangan maya yang merangkumi wakil suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia dan Indonesia.
Semasa persidangan maya semalam, Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBNB) berkongsi hasil siasatan mereka terhadap dakwaan perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja warga asing di pusat tahanan di Sabah.
KBNB juga mempersoalkan dasar imigresen Malaysia mengenai tangkapan secara besar-besaran terhadap pekerja warga asing tanpa dokumen di negeri itu yang menurutnya hanya menyebabkan kesesakan di pusat tahanan.
Penemuan tersebut merangkumi laporan dari bekas tahanan yang memperincikan keadaan sempit di pusat-pusat tersebut, kemudahan pengasingan yang tidak mencukupi bagi mereka yang diuji positif Covid-19 dan kemudahan sanitasi yang buruk seperti tiga hingga empat tandas yang menampung ratusan tahanan.
Wakil KBNB Abu Mufakir mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang menggambarkan operasi penangkapan besar-besaran itu bertujuan memberi golongan berkenaan vaksin Covid-19.
"Tidak ada seorang pun yang sudah dihantar pulang menerima vaksinasi di pusat tahanan," katanya melalui jurubahasa.
Turut hadir dalam persidangan itu adalah wakil-wakil dari NGO termasuk kumpulan hak warga asing, North South Initiative dan kumpulan belia Borneo Komrad.
KBNB mengatakan melalui wawancara mereka dengan bekas tahanan di pusat tahanan warga asing tanpa dokumen di Sabah, mereka menemui testimoni pelanggaran termasuk memukul tahanan dan penghinaan secara lisan.
Tak dapat perbaharui permit
Kumpulan itu mengatakan bahawa banyak pekerja warga asing yang sebelumnya didokumentasikan telah masuk ke status tidak berdokumen kerana majikan gagal memperbaharui permit mereka dan itu sebahagiannya kerana pejabat imigresen tidak beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Sekiranya semua pekerja ladang kelapa sawit diserbu dan dihantar pulang, maka ekonomi Malaysia akan runtuh.
"Itu kerana kami orang Indonesia adalah pekerja yang kebanyakannya bekerja di ladang kelapa sawit.
"Sekiranya kita semua ditangkap, tidak ada yang akan bekerja di ladang kelapa sawit lagi," kata seorang bekas pekerja warga asing dalam video yang disiarkan semasa persidangan maya itu.
Kumpulan itu mengatakan penangkapan meningkat kerana banyak pekerja warga asing yang sah menjadi tidak berdokumen susulan sekatan Covid-19.
Ia mempertikaikan bagaimana langkah-langkah tersebut membantu menurunkan kes Covid-19 dan mengatakan ia juga tidak produktif terhadap situasi kekurangan tenaga kerja di ladang kelapa sawit tempatan.
Untuk rekod, Sabah membekalkan sembilan peratus minyak sawit mentah global (CPO), atau 5.14 juta tan, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit, dengan industri itu berusaha mencari 37,000 pekerja untuk mengisi kekurangan tersebut.
Menurut data kerajaan, 12,877 warga asing tanpa dokumen ditangkap oleh pihak berkuasa pada Oktober tahun lalu.
Dari jumlah itu, 7,673 orang dihantar pulang dan 5,204 masih berada di pusat tahanan ketika itu.
Tangkapan ini termasuk kanak-kanak di bawah umur satu tahun dan orang tua di atas 70 tahun, kata kumpulan itu.
Masalah kesesakan di pusat tahanan imigrasen juga merupakan masalah yang berterusan dan telah menyumbang kepada kluster Covid-19.
Sabah juga mempunyai kadar vaksinasi terendah di negara ini, hanya 38 peratus populasi dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya setakat semalam, dan 57.2 peratus lagi telah menerima suntikan dos pertama.
Sukar buat pantauan
Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia Mohammad Choirul Anam mengatakan pejabatnya telah memantau keadaan pekerja warga asing di Sabah tetapi sekatan pergerakan menghalang mereka untuk melakukan misi mencari fakta di lapangan.
"Kami telah memantau situasi ini dari perbatasan sejak November 2020.
“Kami mengunjungi orang yang dihantar pulangyang menerima kemudahan di Nunukan, Makassar, dan daerah lain.
"Kerana situasi Covid-19, kami tidak dapat melakukan ini (mengambil maklum balas lanjut situasi warga asing di Sabah)," tambahnya.
Menyuarakan seruan untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja warga asing yang tidak berdokumen di negara ini, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph mengatakan sudah waktunya bagi kerajaan untuk mengubah dasar imigresennya yang ketinggalan zaman.
"Kerajaan persekutuan di Putrajaya tidak dapat menyembunyikan diri daripada mencari jalan keluar untuk ini. Dalam ucapan politik, mereka marah kepada orang yang tidak mempunyai dokumen.
"Laporan oleh KBNB telah menunjukkan kepada kita sekarang bahawa jika semua pekerja warga asing dihantar pulang, maka tidak ada yang akan bekerja di ladang kelapa sawit kita lagi.
"Itulah latar belakang yang belum diselesaikan," katanya.
Jerald menambah bahawa tanpa penyelesaian untuk punca masalah itu, serbuan dan penangkapan imigresen sia-sia kerana kitaran akan berlanjutan dengan pekerja warga asing akan terus masuk dan keluar dari negara ini.
KBNB, dalam siaran akhbar, menggesa Jabatan Imigresen Sabah untuk menghentikan tangkapan besar-besaran warga asing tanpa dokumen.
KBNB juga meminta orang ramai untuk menyokong petisyen mereka untuk menuntut keadaan hak asasi manusia yang lebih baik untuk pekerja warga asing.
Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan