Isnin, 30 Ogos 2021

‘Biarkan anjing menyalak’: Hadi petik pepatah Arab beri pesanan kepada Kabinet


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpesan kepada Jemaah Menteri baharu supaya tidak mempedulikan tuduhan dan dakwaan dilemparkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya setelah mereka gagal menebuk atap dan memecahkan dinding gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya walaupun Kabinet baharu dikatakan ‘Kabinet kitar semula’, sebenarnya ia adalah ibarat mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti sama yang gagal dipecahkan oleh pembangkang, termasuk cubaan mencuri Ahli Parlimen.

Secara simbolik, beliau berkata mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukannya dengan merobohkan bangunan atau membina binaan baharu.

“Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan. Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.

“Khusus kepada barisan Kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan ‘biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan’,” katanya dalam Minda Presiden, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu tidak meragui Kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini adalah kesinambungan daripada tugas yang telah dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh PH dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka, katanya.

Abdul Hadi juga mengingatkan Kabinet dan kerajaan baharu supaya tidak mempedulikan tuduhan terhadap PN kononnya gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini.

“Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan.

“Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji yang mampu ditunaikan oleh mereka. Lebih-lebih lagi, ketika belum berlaku penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya pandemik yang dialami PH ialah wabak politiking berebut kerusi Perdana Menteri sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa.

“Di samping itu, kemenangan yang dicapai oleh PH adalah sangat rapuh bersama janji mereka yang tidak boleh ditunaikan. Janji bohong yang bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah, sehingga ia menyesakkan fikiran para pendukungnya,” katanya.

Tiada ulasan: