Isnin, 2 Ogos 2021

Tun M dakwa kerajaan PN terbubar

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia ada secara automatik didakwa sudah terbubar dan tidak boleh mentadbir negara apabila gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu berkata, keadaan itu jelas dilihat menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, tindakan pembatalan itu dibuat tidak mengikut lunas perundangan yang betul, selain tidak mematuhi mana-mana peraturan berkaitan yang termaktub.

"Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan.

"Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.

"Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja... (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang," katanya pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini.

Antara yang hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perarakan itu dibuat secara aman dan dikawal ketat oleh polis yang turut memberi ruang presiden semua parti pembangkang untuk berucap terlebih dahulu.

Semua Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas kemudian bersurai selepas rundingan untuk membenarkan mereka memasuki Parlimen yang diketuai Anwar bersama wakil pihak berkuasa gagal mencapai kesepakatan.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menyatakan kebimbangannya dengan kemelut yang melanda menyebabkan pelabur asing enggan melabur susulan ketidakstabilan politik.

"Kalau pelabur tak datang kerana politik, (keadaan ini) lebih teruk daripada Zimbabwe," katanya.

Guang Eng pula berkata, tujuan Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas mahu ke Parlimen hari ini, bukan untuk membuat undi tidak percaya kepada Muhyiddin, sebaliknya ingin membincangkan masalah berkaitan rakyat.

"Ada yang takut pergi Parlimen kerana COVID-19. Saya pun takut sungguhpun sudah lengkap divaksinasi tetapi kita lebih takut dengan masa depan anak bangsa, mangsa terkorban akibat COVID-19 dan yang hilang pendapatan.

"Kita mahu ekonomi dibuka semula, itu yang kita mahu bawa ke Parlimen tetapi dihalang Perdana Menteri," kata Ahli Parlimen Bagan itu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: