Khamis, 26 Ogos 2021

Jawatan panas yang menjadi tumpuan dalam Kabinet Ismail Sabri


Kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentuk Kabinetnya dan Agenda Daily ingin memberi tumpuan portfolio yang dikatakan panas bakal menentukan hala tuju kerajaan yang akan dipimpin Perdana Menteri Ke-9.

Timbalan Perdana Menteri (TPM)

Ketika era pentadbiran PM Ke-8, kedudukan kedua tertinggi ini menjadi kosong selepas Tan Sri Muhyiddin tidak menamakan timbalannya dalam barisan Kabinet sebaliknya melantik tiga menteri kanan, Ismail Sabri antara salah seorangnya.

Tiga menteri kanan bertanggungjawab dalam membantu urusan urus tadbir Muhyiddin dan setiap masing-masing mempunyai tanggungjawab yang khusus, ia memandangkan negara sedang berdepan krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Spekulasi mengatakan jawatan ini akan diberikan kepada parti Bersatu dan beberapa nama calon sudah menjadi perdebatan dalam ruang media sosial serta hangat dibincangkan dikalangan pemerhati politik.

Untuk rekod, Ismail Sabri dilantik TPM pada penghujung kemelut politik melanda negara selepas tindakan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, penghujungnya selepas berlaku ketegangan politik gagal menemui jalan penyelesaian, Muhyiddin melepaskan jawatannya dan memberi laluan kepada Ismail Sabri untuk naik menjadi PM Ke-9.

Menteri Kewangan

Kementerian paling sensitif dan menjadi rebutan banyak parti politik, jadi tidak hairan apabila desakan paling awal datang daripada beberapa pemimpin UMNO yang meminta jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada mereka, antara nama yang dicadangkan adalah Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

UMNO yang sejak sekian lama memerintah negara mengetahui kepentingan Kementerian Kewangan kerana ia tempat punca wang keluar masuk negara, ia boleh dikatakan kementerian yang menyimpan segala kekayaan negara.

Malah, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini terpalit dengan puluhan pertuduhan pecah amanah dan kes rasuah juga dahulunya adalah Menteri Kewangan, bertanggungjawab meluluskan pelbagai transaksi yang menjadi pertikaian dan meragukan.

Ketika era Muhyiddin mentadbir kerajaan, mengambilkira sensitiviti dan mengelak wang negara daripada terus dirobek oleh ahli-ahli politik, seorang yang tidak mempunyai kaitan dengan parti politik dilantik bagi mengisi jawatan tersebut.

Muhyiddin melantik Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga seorang tokoh korporat Malaysia. Tengku Zafrul merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/ Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad iaitu sebuah bank universal ASEAN terkemuka, serta pemimpin dunia dalam kewangan Islam.

Kebimbangan umum kini selepas UMNO kembali berkuasa, jawatan penting tersebut akan diisi semula oleh ahli politik yang mempunyai kepentingan kepartian.

Sekiranya jawatan tersebut dilantik dikalangan pemimpin kanan UMNO, paling merisaukan isu berkaitan rasuah dan budaya melobi projek akan kembali bermaharajalela seperti dahulunya.

Apakah Mohamad layak untuk mengemudi Kementerian Kewangan walhal beliau juga masih belum terbukti kebolehannya diperingkat pusat.

Menteri Undang-Undang

Pastinya orang ramai tidak lupa drama semasa sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang lalu apabila Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjadi sasaran blok pembangkang berhubung Proklamasi Darurat dan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap pemimpin PAS tersebut.

Bagaimanapun, pujian dan kredit perlu diberikan kepada Takiyuddin yang tidak berkompromi dengan kumpulan Kluster Mahkamah yang diketahui umum melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak.

Kementerian ini penting memandangkan ia juga dapat mempengaruhi jabatan-jabatan penting yang melibatkan hal ehwal perundangan seperti Jabatan Peguam Negara dan lain-lain.

Zahid dan Najib bersama-sama beberapa MP UMNO yang lain terpalit dengan kes jenayah dan sedang dibicarakan memerlukan seorang pemimpin dikalangan mereka untuk dilantik mengisi jawatan tersebut.

Spekulasi mengatakan Datuk Seri Azalina Othman Said mengintai jawatan Menteri Undang-Undang ini kerana ia juga adalah portfolio terakhirnya sebelum tumbang kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dahulu, beliau terkenal juga dengan keberanian mempertahankan Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semua kenyataan Azalina dalam isu 1MDB ini boleh disemak dalam Hansard Dewan Rakyat.

Untuk rekod, Azalina juga baharu meletak jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan difahamkan berkemungkinan ditawarkan menjadi menteri penuh.

Jika Azalina berani mempertahankan Najib sebelum ini, ia berkemungkinan juga dapat memberikan komitmen sama sekiranya dilantik kembali sebagai Menteri Undang-Undang.

Malah semasa menjadi Menteri Undang-Undang pada 2016, Azalina paling banyak membela Najib berhubung isu 1MDB dan adakah ini orang yang sama kita harapkan dapat menjaga kedaulatan undang-undang negara kembali ditegakkan?

Khabar angin mengatakan Azalina sendiri yang meminta untuk kembali memegang jawatan yang disandangnya ketika era pentadbiran Najib itu, jika perkara ini menjadi realiti bagaimana reaksi pembangkang. Adakah pembangkang masih percaya kepada individu sama yang pernah membela Najib dalam isu 1MDB sehingga tumbang kerajaan BN?

Namun, kini pemimpin DAP, MP Segambut Hannah Yeoh pula mencadangkan Azalina ini kembali dimasukkan dalam Kabinet Ismail Sabri sebagai Menteri Dalam Negeri. Tidak pasti apakah sebenarnya yang berada dalam pemikiran pemimpin pembangkang dengan mencadangkan nama Azalina supaya menjadi menteri semula.

Apakah mereka lupa peranan Azalina semasa Najib menjadi PM dahulu, wang negara hilang entah ke mana, silap-silap kes Zahid dan Najib pun bakal berlalu begitu sahaja.

Tahniah kepada pembangkang, khususnya pemimpin DAP kerana berjiwa besar yang sanggup mengangkat seorang pemimpin UMNO dahulu yang mereka fitnah dengan pelbagai kata nista untuk menjadi menteri lagi.

Untuk rekod, Azalina berada dalam kumpulan 15 MP yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga menjadi punca kejatuhan kerajaan PN.

Menteri Dalam Negeri

Sebagai seorang Menteri Dalam Negeri, akses dengan pasukan keselamatan seperti polis, imigresen dan beberapa agensi lain yang berada dibawahnya merupakan sesuatu kemudahan yang amat berpengaruh dan mampu menaikkan nama seseorang dalam pentas politik.

Tradisinya, individu yang berjawatan penting dalam parti politik juga akan dilantik untuk mengisi jawatan ini, malah Muhyiddin sebelum menjadi Perdana Menteri Ke-8 juga merupakan Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14.

Muhyiddin melantik Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Menteri Dalam Negeri dalam pentadbirannya. Namun, difahamkan kemungkinan jawatan tersebut kekal diberikan kepada wakil parti Bersatu.

Bagaimanapun, kemungkinan UMNO juga pasti mengintai jawatan penting ini untuk menjamin agensi-agensi yang dianggap berkuasa dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mengikut telunjuk mereka jika mahu melawan musuh-musuh politik.

Untuk rekod, Presiden UMNO, Zahid semasa menjadi TPM juga memegang portfolio Menteri Dalam Negeri dan terpalit dengan kes mahkamah berhubung isu kontrak Visa Luar Negara (VLN).

Selain itu, UMNO juga sedang berdepan kes berhubung isu pemilihan parti yang masih menjadi pertikaian dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), sebuah agensi dibawah KDN.

RoS juga sebelum ini dalam satu kenyataan menegaskan UMNO perlu mengadakan pemilihan parti mereka tahun ini, sekiranya ini berlaku ia bakal mengundang masalah kepada Zahid selaku Presiden parti untuk terus mengekalkan sokongan terhadapnya selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Ismail Sabri sebagai PM pastinya mencari peluang untuk ke jawatan nombor satu parti memandangkan ia sudah menjadi tradisi pemimpin nombor satu parti adalah juga seorang PM.

Menteri Kesihatan

Krisis kesihatan negara yang masih berterusan dan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi, Ismail Sabri perlu mencari seorang ketua yang dapat mengemudi Kementerian Kesihatan dengan baik disamping mencari strategi baharu dalam menangani isu pandemik yang menjejaskan negara dan rakyat ketika ini.

Berkemungkinan tinggi, Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba yang banyak mencetuskan kontroversi dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdiknya bakal digantikan dengan MP UMNO lain.

Dr Adham tidak memegang jawatan tertinggi dalam parti dan hanya Ketua UMNO Bahagian semasa dilantik menjadi Menteri Kesihatan, namun majoriti Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu jawatan tersebut diberikan kepada salah seorang wakil dalam badan tertinggi parti tersebut.

Bagi mengelak imej kerajaan Ismail Sabri tercalar dengan kenyataan-kenyataan yang menimbulkan kemarahan orang ramai, berkemungkinan seseorang yang lebih berpengalaman dan tahu mengendalikan urusan operasi melibatkan pusat vaksin, hospital dan kebajikan petugas barisan hadapan perlu dilantik untuk mengisi jawatan ini.

Berkemungkinan besar, individu yang layak untuk berada disini adalah bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang lebih teratur dalam hal ehwal pengurusan dan lebih cekap memahami isu-isu semasa berkaitan dengan pandemik.

Namun, Dr Adham sudah melakukan yang terbaik sepanjang menjawat jawatan Menteri Kesihatan dan juga dilihat proaktif mendengar cadangan daripada pelbagai pihak.

Terima kasih Dr Adham, jasa anda akan dikenang rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan

Pengundi muda akan menjadi penentu dalam PRU15 nanti dan kementerian ini antara paling dekat dengan kelompok pengundi ini.

Seorang Menteri Belia dan Sukan mempunyai akses yang banyak dalam penganjuran program serta peruntukan yang banyak boleh digunakan untuk mendekati pengundi muda ini.

Kabinet Ismail Sabri perlu meletak seorang MP muda yang dapat menjadi aspirasi dan mampu mempengaruhi pengundi anak muda untuk bersama-sama dengan kerajaan.

Semasa pentadbiran Muhyiddin, jawatan ini diberikan kepada Ahli MT UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, namun ketika era pandemik peranan beliau terhad kerana tidak banyak aktiviti dan penganjuran sukan yang dijalankan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Dijangka, jawatan ini juga akan diisi dikalangan pemimpin UMNO, spekulasi mengatakan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan tersebut kerana faktor usia dan dikenali dikalangan anak muda dalam parti tersebut sendiri.

Tiada ulasan: