Isnin, 2 Ogos 2021

‘Dari pagi sampai ke petang, tiada seorang penumpang’

Oleh AIN SAFRE BIDIN
PEMANDU teksi menunggu penumpang di Terminal Bas Teluk Intan yang lengang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN: ‘Saya kasihan melihat mereka hanya duduk, berbual sambil menunggu penumpang namun dari pagi sampai petang belum tentu dapat penumpang’.

Itu yang disaksikan setiap hari oleh seorang peniaga sistem audio di bandar ini, Ismail Harun, 57, yang melihat sekumpulan pemandu teksi berkumpul menunggu penumpang di Terminal Bas Teluk
Intan, namun jarang sekali melihat ada penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi.

Melihatkan keadaan itu, Ismail bertanya sendiri kepada pemandu teksi berkenaan dan ternyata jawapannya mereka tertekan kerana tiada penum­pang.

Menurut Ismail, dia melihat keadaan pemandu itu setiap hari kerana kedai perniagaan­nya terletak berhadapan terminal bas berkenaan.

“Apabila duduk di depan pintu kedai yang berhadapan terminal bas, saya tengok dari pagi pemandu teksi duduk saja menunggu penumpang.

“Saya bertanyakan kepada mereka mengenai keadaan itu dan mereka mengakui tiada penumpang bermakna tiada pendapatan disebabkan PKP, malah duit minyak pun tak ada.

“Saya kasihan melihat kea­daan mereka lalu memberikan sedikit sumbangan barangan keperluan harian. Saya harap sumbangan ini dapat membantu mereka yang kesempitan wang kerana tiada penumpang disebabkan PKP,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan di bandar ini berubah sejak PKP apabila terminal bas di sini biasanya sibuk dengan kehadiran penumpang kini sepi.

Kekurangan penumpang su­dah lama dialami oleh pemandu teksi iaitu sejak PKP pertama tahun lalu dan kea­daan berterusan sehingga kini.

Pemandu teksi, Teng Chong Heng @Tan Chuan Heng, 78, berkata, ketika ini, kalau keluar rumah pukul 7 pagi pun belum tentu boleh dapat penum­pang berbanding pendapatan sebelum ini.

Tiada ulasan: