Afidavit yang diikrarkan oleh bekas peguam negara, Abdul Gani Patail, yang menyokong permohonan Musa Aman antara sebab Jabatan Peguam Negara menarik balik semua 46 pertuduhan dikenakan ke atas bekas ketua menteri Sabah berkenaan.
Peguam Negara, Idrus Harun, memberitahu pada 13 Mei lalu Musa ada mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk memohon agar kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan semua pertuduhan terhadapnya dibatalkan.
Pada 5 Jun pula, kata Idrus, Jabatan Peguam Negara menerima satu afidavit yang telah difailkan di mahkamah oleh Musa Aman.
Katanya, bekas peguam negara itu mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 2012 untuk tidak mengambil apa-apa tindakan (no further action atau NFA) terhadap Musa memandangkan siasatan mendapati wang yang terlibat adalah sumbangan politik (political funding).
"Mantan peguam negara juga menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu, bekas ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Abu Kassim Mohammad (bekas ketua pesuruhjaya SPRM), dan Mustafar Ali (bekas pengarah siasatan SPRM).
"Setelah kertas siasatan dikaji dan diteliti daripada sudut perundangan, mantan peguam negara menggunakan budi bicara beliau dan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pendakwaan," katanya.
Memandangkan terdapat representasi dan perkembangan terbaru dalam bentuk afidavit Abdul Gani itu, kata Idrus, maka menjadi tanggung jawab Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula keseluruhan keterangan bagi kes Musa.
Tak wajar pertuduhan diteruskan
Setelah meneliti semua keterangan yang ada dan melalui perbincangan dengan pasukan pendakwaan dan siasatan kes tersebut, kata Idrus, beliau memutuskan untuk menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Musa .
"Dalam kes-kes seperti ini, keterangan dokumentar adalah amat diperlukan bagi tujuan pembuktian kes.
"Keterangan dokumentar syarikat dan perbankan yang dijangka didapati tidak dapat diperolehi secara permohonan bantuan bersama dalam perkara jenayah (Mutual Legal Assistance) dari Hong Kong," katanya.
Menurut Idrus lagi Jabatan Kehakiman Hong Kong baru-baru ini juga memaklumkan syarikat dan bank di Hong Kong hanya dikehendaki menyimpan rekod masing-masing selama tujuh tahun.
Justeru katanya kemungkinan besar bahawa syarikat dan bank berkenaan tidak lagi memiliki rekod atau dokumen berkenaan.
"Selain itu, terdapat saksi-saksi utama bagi pihak pendakwaan yang meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan yang serius atau tidak lagi berada di Malaysia.
"Perkembangan terbaru ini - termasuk afidavit sokongan yang telah difailkan - menyebabkan keadaan yang tidak mewajarkan pertuduhan diteruskan terhadap Musa," katanya.
Keputusan berkenaan, kata Idrus, diperkuatkan lagi dengan sepucuk surat bertarikh 22 Dis 2011 daripada Suruhanjaya Bebas Antirasuah Hong Kong yang menyatakan siasatan mereka terhadap Musa sudah lengkap, dan berdasarkan fakta yang diketahui, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan.
"Keputusan yang dibuat ini adalah menurut kuasa yang boleh djalankan menurut budi bicara saya seperti yang termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan