Syarat ketat dan peraturan tegas pengeluaran lesen penjualan arak oleh kerajaan negeri menjadi faktor utama minuman keras di Kelantan tidak berleluasa, selain faktor peratusan jumlah penduduk bukan Islam yang sedikit berbanding kapasiti penduduk muslim.
Pengarah Pelesenan dan Kawalan Perniagaan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Azizan Mohamed berkata, sepanjang tempoh lima tahun lepas hanya satu pertambahan kelulusan lesen penjualan arak diluluskan oleh kerajaan negeri.
"Secara keseluruhan pada masa ini hanya 15 lesen pemborong dan peruncit minuman keras yang memiliki lesen mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Ia dikategorikan sebagai lesen liquor iaitu minuman keras yang mengandungi lebih dua peratus alkohol.
"Lesennya hanya boleh diluluskan Lembaga Perlesenan dan Eksais negeri Kelantan yang dianggotai oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kawalan penjualan arak di negeri itu yang dilihat sangat ketat dan terkawal dalam menjaga sensitiviti setempat serta mengelak gejala sosial menular dalam masyarakat.
Jelasnya, sejak lima tahun lalu hanya satu pertambahan kelulusan lesen liquor diluluskan iaitu pada tahun 2018.
"Setakat ini hanya 15 lesen dikeluarkan bagi penjualan arak secara borong dan runcit, ia hanya melibatkan lima jajahan iaitu tujuh di Kota Bharu, lima lesen bagi Gua Musang, dan masing-masing satu lesen di Tanah Merah, Pasir Mas serta Tumpat.
"Kelulusan lesen ini kita berikan untuk tempoh enam bulan dan perlu diperbaharui setiap kali tamat tempoh. Jika mereka masih patuh terhadap syarat yang ditetapkan, maka lesen akan disambung," katanya.
Sementara itu selain lesen kategori liqour Azizan berkata, satu lagi jenis lesen yang dikeluarkan adalah bagi kategori bir iaitu arak yang kandungan alkohol kurang daripada dua peratus.
Katanya, bagi kategori jualan bir ini kebenaran atau permit diberikan kepada restoran atau kedai makan bukan muslim sahaja dengan syarat-syarat yang ketat oleh PBT dan di Kelantan sama sekali tidak dibenarkan sebarang bentuk penjualan arak di kedai-kedai atau tempat tumpuan awam.
"Bagi kelulusan lesen penjualan arak akan mengambil kira pelbagai aspek seperti lokasi dan lokaliti meliputi kawasan yang melibatkan masyarakat bukan Islam sahaja.
"Di Kelantan ini, arak tidak dibenarkan dijual contohnya di kedai serbaneka 24 jam dan hotel. Hanya kedai dan restoran khas sahaja yang dibenarkan dan sebarang urusan berkait dengan arak tidak boleh melibatkan orang Islam sama sekali.
"Jika ada restoran memohon permit untuk jualan bir misalnya, wajib memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti lokasi dan lokaliti penduduk jauh dari penempatan orang muslim, tidak libatkan pekerja muslim, dan keadaan premis itu sendiri," katanya.
Sebelum ini isu arak hangat diperkatakan susulan kekerapan kejadian kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk di negara ini sekali gus pelbagai gesaan dibuat antaranya melibatkan pindaan undang-undang yang lebih tegas.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memaklumkan bahawa cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan juga akan merangkumi faktor lain yang membawa kepada pemanduan berbahaya seperti pengaruh dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan