Selasa, 17 Disember 2019

Yusoff Rawther sedia jalani ujian poligraf

KUALA LUMPUR: Bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dengan adil dan telus, Muhammed Yusoff Rawther sedia menjalani ujian poligraf dalam kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dirinya.

Peguamnya, Hanif Khatri, berkata anak guamnya itu sedia pada bila-bila masa dan hanya menunggu arahan polis untuk berbuat demikian.

“Muhammed Yusoff menyedari hanya mahkamah yang berhak menentukan sama ada mahu menerima hasil ujian poligraf berkenaan, bagaimanapun beliau bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan polis bagi membantu melengkapkan siasatan secara adil dan konklusif.

“Beliau juga sedar seperti ujian forensik yang lain, tiada peruntukan undang-undang khas menyatakan ujian poligraf perlu dilakukan dalam siasatan jenayah, tetapi beliau percaya teknologi itu perlu digunakan dalam proses siasatan bagi menyokong dakwaannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan ujian poligraf antara pilihan yang akan dipertimbangkan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes dakwaan Muhammed Yusoff terhadap Anwar.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff ditemani Hanif hadir memberi keterangan di Bukit Aman selama lebih tujuh jam susulan akuan bersumpahnya.

Keesokan harinya, bekas penyelidik di pejabat PKR itu hadir buat kali kedua untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan kes itu.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada Khamis lalu bagi memberikan keterangan.

Polis mula menjalankan siasatan susulan laporan dibuat Muhammed Yusoff di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudian menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammed Yusoff yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh beliau pada 2 Oktober tahun lalu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Sementara itu di Shah Alam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata lapan saksi termasuk ahli politik dipanggil polis bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh Anwar terhadap Muhammed Yusoff.

"Lapan saksi termasuk ahli politik sudah dirakam keterangan dan beberapa lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Tiada ulasan: