DARI Pelangai pergi Merapoh,
Kerana mahu beli buahnya,
Lampu merah jangan dirempuh,
Kalau dirempuh besar padahnya.
Tanggal 8 Disember 2018 menyaksikan sebuah himpunan bersejarah yang berlangsung secara aman di Dataran Merdeka.
Himpunan yang diterajui aktivis NGO dan tokoh masyarakat, dan didokong oleh parti Islam-Melayu terbesar iaitu PAS dan Umno, telah berjaya mencetuskan gelombang penyatuan dan perubahan di kalangan anak bangsa.
Himpunan gergasi yang dianjurkan itu bukannya untuk mencetuskan provokasi, tetapi sebagai tanda solidariti rakyat yang mahu mempertahankan kerukunan Perlembagaan, kedudukan Agama Islam dan Raja-Raja Melayu, serta hak istimewa Bumiputera yang cuba dihakis melalui ICERD yang mahu diratifikasi.
Himpunan aman yang dianjurkan itu juga bukannya untuk menghalau rakan Cina dan India, tetapi bagi menzahirkan ketegasan untuk menghormati hak dan toleransi yang telah disepakati, seterusnya mengingatkan anak bangsa bahawa perpaduan adalah tapak kita untuk teguh berdiri.
Himpunan raksasa yang dianjurkan itu turut mempunyai signifikan tersendiri, apabila menyaksikan kebanjiran anak muda dari pelosok negara, hadir bagi menzahirkan sokongan bahawa negara ini perlu diurus mengikut acuan dan cara kita sendiri.
Setelah genap setahun Himpunan 812 berlalu, negara menyaksikan penyatuan di kalangan anak bangsa terus diperkukuhan.
Tiada siapa yang menduga, kerjasama parti politik dan kelompok NGO yang bangkit memelihara kedaulatan negara, telah berjaya menghalang tangan-tangan yang melambai ‘makhluk asing’ untuk mencampuri urusan negara, seterusnya mengeratkan hubungan dua saudara yang sudah lama bersengketa.
Kerjasama yang bermula di atas dasar persefahaman ini telah memasuki fasa permuafakatan yang lebih kukuh, melalui Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019, dan dilihat mampu menjadi formula terbaik untuk memelihara perpaduan dan memperbaiki keadaan negara.
Sesungguhnya agenda perpaduan yang tercetus pada Himpunan 812, dan diteruskan oleh Piagam Muafakat Nasional adalah manifestasi sebuah kesedaran dan kebangkitan untuk melihat anak bangsa terus bersatu, seterusnya memperbaiki kesilapan lalu.
Justeru semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan benih perpaduan ummah yang sudah bertunas ini, akan terus dibaja dan dijaga agar menjadi pohon rendang yang berbuah, seterusnya memayungi semua rakyat secara adil dan saksama. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan