LAPORAN KHAS | Apabila pekerja Bangladesh lari dari majikan setelah menjadi mangsa pemerdagangan, mereka dijadikan sasaran lumayan sindiket jenayah.
Siasatan media mendapati ramai pekerja Bangladesh terdesak untuk terus bekerja di sini, walaupun setelah menjadi mangsa eksploitasi, kerana mereka berhutang sekurang-kurangnya RM17,000 untuk datang ke Malaysia.
Bagaimana sindiket ‘pemutihan’ beroperasi
Proses ‘pemutihan’ ini merupakan penyelewengan sistem penggajian semula (rehiring) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada Februari 2016.
Sistem ini diperkenalkan untuk memenuhi kekurangan pekerja dalam industri pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.
Di bawah sistem rehiring, majikan dibolehkan mendaftarkan mana-mana pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah.
Sebenarnya, ejen ini bukan menggaji mereka dan para pekerja bebas mencari majikan sendiri. Jika mereka tidak mampu mencari pekerjaan, ejen ini akan mencarikan majikan, dan mengambil komisen dari gaji bulanan.
Ejen: Kalau mereka ditangkap, kami akan lepaskan
Mereka boleh ditangkap pegawai imigresen jika berlaku serbuan di tempat kerja. Bagaimanapun menurut seorang ejen, pekerja yang mereka ‘putihkan’ mendapat ‘perlindungan’.
Menurut Md Mehdi, yang bekerja untuk Sugoi Group, salah satu kumpulan syarikat yang menawarkan khidmat perkhidmatan ini, syarikatnya ‘memutihkan’ lebih 5,000 pekerja. Ini bermakna perkhidmatan ini menghasilkan RM22 juta untuk Sugoi Group.
“Mereka yang ‘diputihkan’ melalui syarikat kami boleh bekerja di mana-mana tempat tanpa bimbang.
“Jika mereka ditangkap, kami akan menguruskannya supaya mereka dilepaskan,” katanya kepada Kaler Kantho.
Percubaan Malaysiakini untuk menghubungi pemilik
syarikat ejen, Humayun Kabir tidak berjaya. Humayun dilahirkan di
Bangladesh dan menjadi warganegara melalui proses naturalisasi.
Seramai 744,942 pekerja asing dan 83,919 majikan berdaftar bawah sistem rehiring setakat Mei 2018. Program ini tamat pada 30 Jun 2018.
Menurut Jabatan Imigresen, hanya majikan yang perlu membayar dalam proses penggajian semula, iaitu antara RM1,395 ke RM3,845 bergantung kepada industri.
Tetapi ejen yang ‘memutihkan’ pekerja-pekerja asing ini mengenakan bayaran dari RM4,000 ke RM8,000.
Menurut siasatan Kaler Kantho, ada juga ejen yang masih menawarkan perkhidmatan ini, walaupun program penggajian semula telah tamat.
Pihak imigresen dan polis juga telah membuat serbuan ke atas beberapa sindiket ini.
Usaha membasmi tidak berjaya
Jaringan ejen tidak bertauliah ini berleluasa walaupun terdapat banyak usaha pihak berkuasa untuk memastikan ia tidak berlaku.
Contohnya, Kedutaan Bangladesh ditugaskan untuk memastikan syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja Bangladesh memang syarikat sah yang memerlukan pekerja-pekerja tersebut.
Maka apabila ejen-ejen tidak bertauliah berjaya mendaftar sebagai majikan, dan seterusnya ‘menyewa’ dan mengambil komisen, ini menunjukkan wujudnya ketirisan dalam sistem pemeriksaan kedutaan.
Duta Besar Bangladesh Shahidul Islam berkata pihaknya sukar
untuk memeriksa semua kes kerana terlalu ramai pekerja Bangladesh di
Malaysia.
“Pihak kedutaan tidak mampu untuk menjaga semua pekerja. Ini kelemahan kami,” katanya.
Pada Februari 2016, Putrajaya telah menandatangani perjanjian government-to-government plus (G2G+) dengan Dhaka, bertujuan membasmi ejen dan orang tengah.
Menurut data kerajaan Bangladesh, seramai 275,000 pekerja Bangladesh tiba di Malaysia melalui G2G Plus.
Namun, G2G+ digantung pada Jun 2018 kerana penyelewengan disyaki.
“Kerajaan terdahulu telah menguruskan proses pengambilan pekerja asing seperti perniagaan yang hanya menguntungkan beberapa individu tertentu,” Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dipetik sebagai berkata.
Pada bulan Julai, beliau mengumumkan bahawa sebuah memorandum baru akan ditandatangani dengan kerajaan Bangladesh.
Memorandum ini bertujuan membatalkan moratorium atas kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia, tetapi mekanisme yang baru belum diumumkan.
Beliau tidak menjawab soalan-soalan Malaysiakini.
Perubahan undang-undang
Tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan meminda Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 untuk membasmi kejadian pekerja didaftarkan bawah sebuah syarikat ‘outsourcing’ tetapi bekerja untuk majikan lain.
Kini, hanya ejen sumber manusia yang dilesenkan oleh Kementerian Sumber Manusia boleh mengimport pekerja asing dengan tujuan meletakkan mereka di majikan akhir.
Namun tidak jelas bagaimana ejen yang dilesenkan ini akan mendapatkan pekerja asing tersebut dan jika ini dapat membasmi operasi ‘pemutihan’ pekerja yang telah ada di Malaysia, oleh wakil ejen tersebut.
“Terma ‘outsourcing’ tidak lagi wujud.
“Saya difahamkan ada yang telah berbuat demikian,” kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin di sebuah sidang akhbar baru-baru ini.
Mana-mana syarikat outsourcing yang tidak berdaftar dan masih beroperasi selepas 1 April boleh diambil tindakan bawah Seksyen 7 Akta tersebut.
Mangsa sistem
Menurut pengarah NGO hak pekerja asing Tenganita, Aegile Fernandez, pihak berkuasa mesti lebih proaktif untuk melindungi pekerja.
Beliau berkata ramai pekerja yang terperangkap dalam kitaran penyelewengan yang sama apabila ejen tidak bertauliah menyalahgunakan program pemutihan Back For Good yang ditawarkan kerajaan sehingga hujung Disember ini.
Dalam program Back or Good, PATI yang sukarela keluar dari Malaysia tidak akan dikenakan tindakan imigresen seperti denda, sebatan dan penjara.
Menurut laman web Imigresen, PATI perlu berdaftar sendiri untuk program ini di pejabat Kementerian Dalam Negeri dan tiada ejen dibenar menguruskannya.
“Kebanyakan mereka datang ke sini secara sah tetapi menjadi mangsa kepada sistem buruh yang sedia ada.
“Mereka telah mengeluarkan banyak wang untuk datang ke sini dan terpaksa membayar lagi untuk pulang,” kata Fernandez.
*Alyaa Alhadjri, Faisal Asyraf dan Aidila Razak dari Malaysiakini dan Haider Ali dari Kaler Kantho menyumbang kepada laporan ini.
Esok: Setiap hari, dua orang pekerja Bangladesh maut di Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan