Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin menggesa mereka yang akan berhimpun bagi membantah projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dan Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) agar tidak memainkan isu perkauman.
Afif berkata beliau difahamkan bantahan itu dianjurkan Gerakan Pembela Ummah Pulau Pinang dan akan diadakan di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas esok.
Ummah yang merupakan gabungan lebih 40 NGO di Pulau Pinang, menjangka kira-kira 5,000 orang akan hadir pada perhimpunan tersebut.
"Walaupun berbeza pandangan, saya doakan agar perhimpunan ini dianjurkan dalam keadaan aman, tersusun dan tenang
Afif memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan akan mempertahankan hak yang dijamin di dalam ruang demokrasi di negara ini.
"Besar harapan saya agar penganjur dapat elak daripada memainkan isu perkauman. Jangan sekali-kali kita membenarkan politik perkauman ‘bernyawa’," kata Afif yang juga Adun PKR Seberang Jaya.
Projek tambakan laut seluas 1,820ha, melibatkan penciptaan tiga pulau buatan yang sebahagiannya (30 peratus) dijual untuk membiayai kos PTMP.
Nelayan dan NGO seperti Penang Forum dan Sahabat Alam Malaysia lantang membantah projek berkenaan yang akan dilaksanakan oleh rakan kongsi PTMP negeri, SRS Consortium.
Afif juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan masyarakat Melayu dan kaum lain di kawasan terlibat tidak dipinggir dalam arus pembangunan.
"Kemajuan ini dibuat untuk semua rakyat Pulau Pinang, kalau ada kerisauan dan kegusaran, suarakanlah! Kami sedia mendengar tetapi jangan sampai mengadaikan keharmonian yang telah kita kecapi," katanya.
'Naik bas, tapi lamalah sikit'
Katanya, mereka juga boleh berkongsi kenderaan untuk mengurangkan karbon dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Dari Terminal Komtar boleh naik bas Rapid Penang nombor 302 dan turun terus ke Permatang Damar Laut, perjalanan lebih kurang sejam.
"Lamalah sikit. Tapi inshaAllah, kalau pada masa depan LRT siap, perjalanan jadi lebih cepat dan selesa untuk ke Batu Maung," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan