Yayasan Islam Kelantan (YIK) sudah mempunyai calon untuk
dilantik menjadi mudir Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka bagi
menggantikan penyandang, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
"Ya, dah ada cadangan (mudir baru) daripada YIK," katanya ketika ditanya mengenai proses pengambilalihan sekolah berkenaan.
Maahad Darul Anuar ialah sekolah agama diasaskan oleh bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1963.
Ia dilihat sebagai salah satu legasi penting Nik Abdul Aziz.
Terletak kira-kira 9km dari pusat bandar Kota Bharu Maahad Darul Anuar menjadi perhatian baru-baru ini apabila ada usaha meletakkan sekolah tersebut di bawah kendalian YIK.
Sebelum ini maahad terbabit dikendalikan secara persendirian.
Nik Omar terima wasiat
YIK pula bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar selepas menerima permohonan organisasi keluarga Nik Abdul Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah, yang mendakwa menjadi pemegang amanah.
Nik Omar bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan menyerahkan mandat sebagai pemegang amanah Maahad Darul Anuar kepada mana-mana pihak.
"Kesimpulannya, saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan tuan guru terlaksana," katanya.
Nik Omar juga menegaskan permohonan Keluarga Besar Nikmatillah supaya Maahad Darul Anuar diuruskan Yayasan dibuat tanpa mengikut saluran yang betul.
Sementara itu, Mohamed Fadzli ketika ditanya siapa bakal menggantikan tempat Nik Omar berkata, cadangan YIK itu adalah ahli keluarga Nik Abdul Aziz juga.
"Insya-Allah, mudir daripada kalangan ahli keluarga tok guru juga," katanya ringkas ketika ditemui pada program Ceramah Roadshow Himpunan Bantah Icerd, di Machang, malam tadi.
Sementara itu, difahamkan YIK kini sedang menunggu masa sesuai bagi memperkenalkan pengetua baru untuk Maahad Darul Anuar dalam usaha mengambil alih sekolah tersebut.
Semalam tersebar khabar kononnya pegawai YIK akan datang ke sekolah agama terbabit untuk memperkenalkan calon mudir baru.
Bagaimanapun
difahamkan wakil Nik Omar meminta kedatangan itu ditangguhkan sehingga
semua pelajar yang terbabit dalam peperiksaan selesai menjalankan
tanggungjawab masing-masing.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada Nik Omar berhubung perkara itu.
Untuk rekod Nik Omar kini sedang berada di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan