Nasib bekas pemain bola sepak negara Salahuddin Che Ros yang dilaporkan media terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan menyentuh hati masyarakat.
Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dilaporkan cuba menghubungi Salahuddin untuk mengetahui keadaannya dengan lebih lanjut.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha agung FAM Stuart Ramalingam, panggilan telefon mereka tidak berjawab.
"Kami dapat tahu mengenai situasinya melalui laporan media dan kami mahu menolongnya.
"Kami berjaya dapat nombor telefonnya, tapi setiap kali kami cuba hubungi, dia tak jawab," katanya dipetik Star Online.
Justeru, tambah Stuart, pihaknya akan cuba berjumpa sendiri dengan Salahuddin bagi membantu bekas pemain pertahanan itu.
Sebelum ini, media melaporkan nasib anak kelahiran Pulau Pinang itu yang terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Institut Jantung Negara (IJN) di ibu kota untuk membuat rawatan.
Selama lapan bulan berulang-alik dari kampungnya ke IJN, Salahuddin berbuat demikian kerana wang simpanannya yang semakin berkurang dan tidak mampu menyewa hotel.
Dalam perkembangan sama, Star Online turut melaporkan bahawa PFAM akan menganjurkan pertandingan amal bola sepak untuk Salahuddin di Eco Ardence Setia Alam esok.
Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dipetik sebagai berkata bahawa beliau berharap perlawanan itu akan membuka mata orang ramai mengenai isu-isu yang dihadapi oleh bekas atlet negara.
Jelas Ketua Pengawai Eksekutif PFAM Izham Ismail pula, terdapat kes-kes lain di luar sana yang hampir sama dengan Salahuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan