Isnin, 10 Disember 2018

RUU harmoni, ICERD sama, kata bekas Ketua Hakim Negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

Rakyat tak boleh leka kerana ada konvensyen lain perlu diberi perhatian



BANGI – Bekas Ketua Hakim Negara mengingatkan bahawa tujuan Rang Undang-Undang (RUU) Keharmonian Nasional dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), adalah sama.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, kedua-duanya bertujuan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Tidak menolak kemungkinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menghidupkan semula RUU Keharmonian Nasional, beliau berkata, hal itu dibangkitkan semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusuf Rawa.

Katanya, Mujahid turut menyatakan hasrat supaya RUU Keharmonian Nasional itu diletakkan di bawah bidang kuasa menteri yang menjaga portfolio perpaduan, P Waytha Moorthy.

“Apa hubungannya RUU harmoni dengan ICERD? Jawabnya, tujuan RUU harmoni dan ratifikasi ICERD adalah sama, untuk menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Setelah gagal menjadikan RUU harmoni undang-undang, kumpulan berkenaan mengguna taktik baru membuat ratifikasi ICERD dan membawa semula RUU harmoni untuk dijadikan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Himpunan 812 yang berlangsung Sabtu lalu mencipta sejarah baharu kepada negara, rakyat masih tidak boleh leka kerana akan ada beberapa konvensyen lagi yang perlu diberi perhatian.

Malah, beliau berkata, ICERD juga mungkin hendak diratifikasi semula pada masa depan, memandangkan Suhakam secara terang-terangan berdegil untuk terus menekan kerajaan ke arah itu.

“DAP, NGO-NGO bukan Melayu dan orang bukan Melayu tentu sebulat suara di belakang mereka. Mereka ada kepentingan diri.

“RUU harmoni mungkin hendak dibawa ke Parlimen semula. Yang nyata, apa yang berlaku hari ini adalah ‘kejayaan’ Waytha Moorthy (dan kerajaan Pakatan Harapan) dalam masa enam bulan menyebabkan ketegangan antara kaum terburuk semenjak 13 Mei 1969, genap 50 tahun,” katanya.

Tiada ulasan: