Isnin, 10 Disember 2018

PULAU KUKUP: SURAT KERAJAAN PERSEKUTUAN TIADA MAKNA – TMJ

Wartawan Watan-Online

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar supaya tidak mencampuri isu status Pulau Kukup di negeri tersebut.

Tunku Ismail melalui kenyataan berkata isu berkaitan tanah di negeri tersebut merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Oleh itu menurut Tunku Ismail, sebarang kenyataan ataupun surat daripada kerajaan persekutuan berkaitan tanah tidak memberi makna apa-apa kepada negeri tersebut.

“Sebagai orang luar, anda tidak payah menyibuk hal negeri Johor. Tidak kira apa kenyataan atau surat yang dikeluarkan, anda tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengatasi Perlembagaan Negeri Johor,” ujar Tunku Ismail dalam tulisannya di Facebook pada Ahad.

Tunku Ismail dalam hantaran yang sama turut mengingatkan Xavier supaya tidak mempergunakan isu Pulau Kukup bagi menutup prestasi lemahnya sebagai menteri.

“Jangan pergunakan isu ini sebagai helah untuk mengalihkan perhatian kerana anda tidak perform,” katanya.

Susulan warta pada September lepas berhubung pembatalan status Pulau Kukup sebagai taman negara, Xavier mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan penukaran statusnya boleh memberi impak kepada pengiktirafan paya bakau itu oleh pihak antarabangsa.

Tunku Ismail tampil menjelaskan penukaran status tersebut dibuat bagi membolehkan ia diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan dengan mengekalkan kedudukannya sebagai taman negara.

Tunku Ismail melalui ciapan di Twitter pula menegaskan mengenai enakmen negeri sambil melampirkan kenyataan media dikeluarkan Xavier yang disifatkan sebagai sebuah jenaka.

“Pernah dengar enakmen negeri? Mana ada surat atau menteri boleh campuri urusan Perlembagaan Negeri Johor.

“Tanah, agama dan air di bawah kuasa negeri. Surat ini adalah jenaka,” ujar beliau.

Tiada ulasan: