Isnin, 17 Disember 2018

Pernahkah Nabi Muhammad s.a.w terpaksa tidak menunaikan janji?

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


 Saya ingin mengingatkan diri saya dan sesiapa yang ingin berbicara tentang Nabi s.a.w untuk menjaga ungkapan yang digunakan dan menyemak nas dan riwayat dengan teliti.

Berhubung dengan isu apakah Pesuruh Allah Nabi Muhammad s.a.w pernah terpaksa TIDAK menunaikan janji baginda untuk membawa para sahabat umrah semasa tahun Perjanjian Hudaibiyah?

Pertamanya hendaklah kita yakin Nabi Muhammad s.a.w TIDAK pernah mungkir janji. Ya, baginda memang pernah berjanji ataupun memberitahu bahawa baginda dan para sahabat akan dapat bertawaf di Ka’abah.

Namun, baginda tidak pernah memberitahu tahun tertentu. Apabila Umar bin al-Khattab tidak puas hati dengan keputusan Nabi s.a.w berdamai dengan Quraisy dan tidak menerusi hasrat umrah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah, baginda telah menjawab hal tersebut.

Berikut adalah antara dialog Umar dan Nabi s.a.w dalam riwayat Sahih al-Bukhari dan Muslim tentang hal tersebut:

أَوَلَيْسَ كنتَ تُحَدِّثُنَا أَنَّا سنأتي البيتَ فنَطُوفُ به ؟ قال : بلى، فأَخْبَرْتُك أَنَّا نَأْتِيه العامَ؟ قال: لا. قال: فإنك آتيه ومُطَوِّفٌ به

Kata Umar: “Tidakkah engkau telah memberitahu kami bahawa kita akan datang ke Ka’abah lalu bertawaf mengelilinginya?”

Jawab Nabi Muhammad : “Bahkan. Namun apakah aku memberitahu engkau bahawa kita akan datang pada tahun ini?”

Jawab Umar: “Tidak.”

Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya engkau pasti akan datang ke Ka’abah dan bertawaf”

Ertinya, tiada sebarang janji Nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji baginda tertunai di mana selepas itu baginda dan para sahabat kembali semula menunaikan umrah.

Nasihat saya, berhati-hati apabila berbicara tentang Rasulullah s.a.w. Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad s.a.w jika kita tersalah memberikan maklumat.

Bagi pihak yang tersilap atau tersasul, sila betulkan kenyataan dalam hal berkenaan. Semoga Allah bimbing kita semua.

Tiada ulasan: