KUALA LUMPUR: Timbalan
Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Menteri
Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang menyamakan kegagalan janji
Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14
dengan Rasulullah SAW (sirah) itu satu tindakan tidak beradab dengan
Rasulullah SAW.
Menurutnya, kegagalan PH tidak dapat menunaikan janji tidak boleh samakan dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW.
"Kita tidak boleh menyamakan janji
manifesto PH dengan (sirah) Rasulullah, di mana satu perbandingan yang
tidak beradab dalam Islam.
"Apa yang dibandingkan dengan kegagalan kerajaan itu benda yang berbeza," katanya kepada Harakahdaily.
Sebelum ini, Khalid dalam kenyataan
penggulungan sebagai Pengarah Komunikasi di Konvensyen Nasional Amanah
2018 di Hotel Casuarina, Ipoh berkata kegagalan kerajaan PH menunaikan
manifesto adalah akibat kekangan sumber kewangan tidak mencukupi.
"Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat
dari Madinah nak ke Mekah, janji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai
di Hudaibiyyah. Itu Nabi!" katanya.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, PH
sememangnya gagal dalam melaksanakan janji manifesto mereka dan jangan
sesekali membuat perbandingan dengan Rasulullah SAW.
"Manifesto ini dibuat melalui kajian dan penelitian dia (PH), kita menganggap ini satu kegagalan.
"Takkan dia tidak tahu, sebab laporan
audit dibentangkan setiap tahun dalam parlimen, kedudukan wang negara
semua orang tahu. Jadi, bila tidak boleh tunai janji jangan menyamakan
perkara tersebut dengan Rasulullah itu satu benda yang tidak beradab,"
tegasnya.
Tambah beliau, tindakan Khalid itu salah
kerana telah meletakkan satu penghinaan kepada Rasulullah SAW dengan
sifat-sifat yang tidak layak bagi Rasulullah SAW.
"Itu satu benda yang memang tidak betul. Tidak berakhlak," katanya.
Katanya, Khalid sepatutnya menjadikan kegagalan itu iktibar untuk mencari penyelesaian dalam menunaikan manifesto PH.
Tuan Ibrahim minta supaya pimpinan PH
lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan mengaitkan dengan Islam
dan Rasulullah SAW.
"Sebab mutakhir ini, banyak kenyataan
cuba meletakkan kesalahan (PH) menyamakan dengan peristiwa yang berlaku
dalam Islam itu memang tidak betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan