Ridzal Abdullah, Astro Awani
Penyerahan borang kepada Setiausaha Agung Warisan, Loretto S Padua Jr
itu diketuai mantan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu yang
juga bekas Ketua UMNO Bahagian Silam, Mohd Yusof Apdal dengan
disaksikan Ketua Wira Warisan Azis Jamman.
Mohd Yusof berkata penyertaan ke Warisan itu melibatkan anggota
daripada 114 cawangan UMNO, 17 cawangan Gerakan serta anggota MCA di
sini.
Dalam pada itu, Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mahu
bekas anggota UMNO yang menyertai Warisan agar meninggalkan budaya
‘tidak baik’ yang diamalkan ketika bersama parti itu dahulu.
"Rakyat buat keputusan sewaktu pilihan raya lalu untuk menukar
kerajaan lama kerana ada perkara dilakukan mereka tidak disenangi
termasuk cara pendekatan digunakan anggota UMNO sebelum ini," katanya.
Beliau turut berharap kemasukan bekas anggota pembangkang itu akan menambah kekuatan parti khususnya di peringkat akar umbi.
"Apa yang penting pejuang asal Warisan menerima serta bekerjasama
dengan anggota baharu ini, dan pejuang asal jangan risau kerana mereka
akan diutamakan," katanya.
Sementara itu, Loretto mengalu-alukan bekas anggota UMNO atau parti
pembangkang lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai Warisan
dengan syarat mematuhi peraturan perlembagaan ditetapkan parti.
"Kita ada jumlah (yang ingin menyertai Warisan), kita akan umum dalam
majlis (kemasukan beramai-ramai) selepas ini," katanya bahawa lebih
banyak bekas anggota pembangkang bakal menyertai Warisan.
Loretto turut menegaskan Warisan tidak patut berasa tergugat sekiranya
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertapak di Sabah, namun
berpendapat biarlah Warisan sebuah parti tempatan, berkhidmat di sini,
kerana faham nadi 'Sabah untuk Sabahan'.
Selain itu, Loretto berkata setiap individu mempunyai hak untuk
menubuhkan parti baharu berasaskan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963
termasuk oleh bekas Menteri Luar Anifah Aman.
Namun, Loretto berkata perjuangan Warisan kini lebih tertumpu dan berkesan memandangkan berada dalam blok kerajaan.
"(Berbanding) dulu, mereka (termasuk Anifah) tidak tahu apa mereka perjuangkan sewaktu menjadi kerajaan," katanya.
Ditanya sama ada Warisan boleh bekerjasama dengan parti baharu mungkin
ditubuhkan Anifah atau mengajak bekas Menteri Luar itu menyertai
Warisan, Loretto berkata perkara itu biar diputuskan presiden parti
merangkap Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan