Selasa, 18 Disember 2018

NGO tuntut SPRM siasat subsidiari Amanah Ikhtiar

MALAYSIAKINI

   

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menuntut penglibatan SPRM dalam kontrak-kontrak anak syarikat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Gesaan itu dibuat setelah badan antirasuah itu mendakwa menerima laporan saksi berkaitan, antaranya berkaitan kontrak-kontrak anak syarikat amanah itu.

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata siasatan SPRM diharap menjelaskan sama ada kontrak perkhidmatan yang keseluruhannya bernilai lebih ratusan juta ringgit berlaku melalui proses pemilihan yang telus dan terbuka, atau sebaliknya.

“Oleh yang demikian, C4 menuntut satu siasatan yang telus segera dijalankan ke atas badan amanah ini yang sepatutnya melindungi kepentingan dan kebajikan orang-orang miskin di Malaysia khususnya golongan usahawan-usahawan kecil wanita,” kata Cynthia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin pada 6 Disember lalu berkata kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan AIM.

Katanya, AIM tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah yang tidak membenarkan penubuhan anak syarikat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Junaidah Kiting bagaimanapun berkata Hanipa hanya menegaskan berkaitan penubuhan anak-anak syarikatnya sahaja, bukan penutupan operasi keseluruhan.

AIM ialah badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada 17 September 1987 dan didaftarkan bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952 (pindaan 1981).

Ia bagi menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran sebagai usaha menambahkan pendapatan keluarga.


Tiada ulasan: